Jonathan menerima cenderahati daripada pihak penganjur program Sammbutan Hari Keluarga dan Tahun Baru itu
RANAU: Hubungan yang baik dan amalan bersatu padu di kalangan penduduk kampung dapat memastikan serta menjamin keharmonian dan perdamaian dalam masyarakat di Kawasan ini.
Justeru, Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin menggesa penduduk di sini agar sentiasa bekerjasama juga dengan pemimpin peringkat kampung agar setiap permasalahan yang wujud akan dapat dibincang Bersama.
“Kita perlu melihara apa yang telah diturunkan oleh nenek moyang kita yang sudah membentuk acuan yang terbaik bagi generasi kita hari ini dan seterusnya menyerahkan pula nilai ini kepada generasi akan datang.
“Sikap mementingkan nilai persaudaraan antara satu sama lain tidak kira perbezaan antara kita ialah satu amalan yang terpuji yang membolehkan kita hidup dalam keadaan aman hari ini.
“Peliharalah nilai ini dan jagalah ia supaya generasi depan juga menyedari akan betapa pentingnya perkara ini, kerana jika masyarakat berpecah belah, maka tiada kemakmuran yang dapat dikecapi melalui perbalahan sedemikian,” katanya.
Jonathan berkata demikian semasa merasmikan Program Hari Keluarga dan Sambutan Tahun Baru 2024 pada 31 Disember lepas di Kg Muhibbah Lohan 1.
Dalam program itu, beliau meluluskan dana sebanyak RM15,000 di mana RM10,000 untuk pembaikan dan penyelanggaran bangunan balai raya manakala RM5,000 lagi ialah untuk Pengurusan Taman Muhibbah.