26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, November 8, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Jabatan Laut Malaysia mahu tenaga muda ceburi bidang maritim secara profesional

SIMBOLIK… Dickson (kanan sekali) bersama Alimuddin menekan buton simbolik perasmian WatoN Day peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.

LABUAN: Jabatan Laut Malaysia (JLM) mahu lebih ramai tenaga muda menceburi bidang maritim secara profesional bagi memenuhi keperluan industri keselamatan dan perlindungan alam sekitar marin.

Ketua Pengarah Laut, Datuk Dickson Dolah, berkata pihaknya mempunyai pusat latihan bertauliah di seluruh negara bagi melahirkan tenaga mahir dalam bidang tersebut.

“Kita ada pusat latihan di seluruh Malaysia yang diiktiraf oleh Jabatan Laut untuk melatih pelaut-pelaut yang berkemahiran….di Labuan kita mempunyai satu pusat latihan manakala di Kota Kinabalu terdapat dua pusat latihan dan di Sarawak terdapat dua atau tiga.

“Mereka terus boleh memohon kepada pusat latihan tersebut. Jabatan Laut memang sentiasa mengalu-alukan orang ramai terutamanya tenaga kerja yang baru, tenaga kerja muda untuk menceburi bidang ini,” katanya.

Beliau berkta demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pelancaran Sambutan ‘World Marine Aids To Navigation Day’ (WatoN DAY) Peringkat Labuan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan di sini, baru baru ini.

Dickson berkata, bidang maritim menawarkan pelbagai peluang kerjaya berpendapatan tinggi bukan sahaja di perairan negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa selaras dengan perkembangan industri pelayaran global.

Justeru lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berpeluang untuk menyertai latihan tersebut di Institut Latihan Maritim dan memperoleh akreditasi Jabatan Laut Malaysia (JLM).

“Setakat ini lebih 30,000 peserta berjaya memperoleh sijil dan lebih 6,000 daripadanya merupakan pelaut aktif yang bekerja dalam bidang”, katanya.

Sempena program tersebut pelbagai aktiviti telah dilaksanakan antaranya reruai agensi kerajaan, aktiviti kayak, pertandingan memancing dan pertandingan video kreatif.

Hadir sama Pengarah Jabatan Laut Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan, Alimuddin Amirudin.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN