SERAH… Francis menyerahkan risalah mengenai keselamatan dan kebersihan makanan kepada salah seorang peniaga di Bazar Ramadan Labuan Walk.
Labuan: Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan (JKWPL) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) akan terus membuat pemantauan di setiap lokasi Bazar Ramadan yang beroperasi di pulau ini.
Pengarah Jabatan itu, Dr. Francis Paul berkata, pihaknya melalui BKKM komited bukan sahaja dalam memastikan keselamatan makanan yang dijual sentiasa terjamin tetapi dalam aspek kebersihan pengendali makanan dan prosedur penyediaan makanan.
“ Jabatan Kesihatan juga telah melakukan pemeriksaan di premis pembekal bahan mentah, premis penyedian ais, restoran dan hotel hotel yang menyediakan juadah berbuka puasa” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan Walk About di Bazar Ramadan Labuan Walk, dekat sini pada Rabu.
Francis berkata, pemeriksaan di premis bazar Ramadan telahpun bermula sejak 12 Mac lalu dan akan diteruskan sehingga semua premis di periksa.
Sementara itu sebanyak 12 sampel makanan yang siap dimakan tel;ah diambil untuk dihantar ke Makmal Kesihatan Awam di Kota Kinabalu bagi tujuan analisa mikrobiologi.
“Sepanjang bulan Ramadan ini kita menasihatkan orang ramai mengambil langkah pemedulian ‘Perhati dan Pilih’ sebelum membeli dan ‘Lihat dan Rasa’ sebelum makan ia langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan” katanya.