30 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Julai 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

ISU PTI SABAH-JANGAN LONTAR TUDUHAN LIAR KEPADA KERAJAAN NEGERI

RANAU: Usaha Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr.Jeffrey Kitingan mencari penyelesaian isu kebanjiran Pendatang Tanpa Izin (PTI) di negeri Sabah tidak harus diperlekehkan sebaliknya memberi beliau ruang untuk melaksanakan tugasnya dengan sempurna.

Menegaskan perkara itu, Ketua Wiramuda Star Sabah, Kong Soon Choi berkata, terdapat tuduhan liar beberapa pihak yang cuba memanipulasikan usaha pemimpin itu dengan kenyataan tidak berasas dan menyebarkan fitnah untuk mengelirukan rakyat.

“Baru-baru ini, tular di media sosial yang menyatakan kerajaan bakal mengeluarkan Kad Warga Asing yang mempunyai agenda kepentingan peribadi Parti Star dan GRS-BN. Namun ianya adalah fakta liar yang tidak berasas”. Tegasnya.

Kong berkata, sesi ‘Town Hall’ yang berlangsung baru-baru ini membabitkan beberapa agensi penguatkuasa jelas menunjukkan bahawa kerajaan benar-benar serius untuk mendapatkan penyelesaian tuntas berhubung isu tersebut.

Tegasnya, tuduhan yang mengatakan kad pengenalan kepada warga asing bakal dikeluarkan adalah tidak benar sama sekali sebaliknya usaha awal untuk membuat pendataan secara digital terhadap warga asing di Sabah antara strategi awal untuk mengenalpasti jumlah, lokasi serta dasar yang berkesan untuk menyelesaikan isu PTI di negeri ini.

“Semua pihak perlu memahami dengan lebih jelas kenapa Kerajaan Negeri perlu laksanakan pendataan secara digital terhadap Warga Asing di Sabah. Ia amat penting agar segala maklumat dapat disatukan dalam pangkalan data yang seterusnya memudahkan tindakan lanjut dilaksanakan secara lebih efektif”. Katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau juga yakin dengan adanya kerjasama agensi-agensi penguatkuasa Kerajaan Persekutuan dan Negeri, isu kebanjiran PTI di negeri ini dapat ditangani dengan sempurna.

Jelasnya, isu PTI adalah isu global yang memerlukan kerjasama padu semua agensi penguatkuasa baik dari kerajaan pusat atau negeri malah dari kalangan penduduk tempatan sendiri.

“Masyarakat juga perlu memainkan peranan penting dalam memberikan idea bernas yang boleh dimasukkan sebagai sebahagian daripada syor-syor penguatkuasaan menangani isu PTI. Namun ia mestilah dilontarkan secara profesional tanpa didorong dengan ideologi politik yang akhirnya hanya mengikut perasaan”. Tambahnya.

Pada Februari lepas, Kerajaan Negeri Sabah bersetuju melantik Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan sebagai pengerusi sebuah jawatankuasa yang baru diwujudkan, Jawatankuasa Khas Mengenai Pekerja serta Warga Asing Tanpa Dokumen Sah.

Jawatankuasa itu dipertanggungjawabkan bagi mengumpul input daripada penguat kuasa undang-undang, pemain industri, pemimpin politik dan pemimpin komuniti berhubung cara terbaik menangani isu berkaitan pekerja asing dan keluarga mereka yang tiada dokumen perjalanan lengkap.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN