28 C
Kota Kinabalu
Rabu, Februari 11, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Isu curang tanpa niat perlu dibanteras segera: James

DARI KIRI….Datuk Flovia, Datuk James dan Datuk Maria, bergambar bersama para peserta


KOTA KINABALU: Isu curang tanpa niat kini semakin mendapat perhatian dalam sektor awam justeru ianya perlu dibendung dengan segera, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Datuk James Ratib.


“Walaupun ia bukan jenayah rasuah secara langsung, perbuatan tersebut tetap mencemarkan imej perkhidmatan awam, mewujudkan salah laku tatakelakuan, serta membawa implikasi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan tatatertib.


“Oleh itu, sistem tadbir urus yang sistematik dan polisi yang jelas amat penting bagi memastikan keadilan serta konsistensi dalam tindakan terhadap penjawat awam,” jelas beliau.


Datuk James yang juga ADUN Sugut berkata demikian ketika merasmikan Program Varsha Integriti yang diadakan di sini pada hari Selasa.


Program VARSHA Integriti anjuran KPMKR merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Sabah melalui Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS) dengan matlamat memperkukuh tadbir urus, menanam nilai integriti serta memperkasakan budaya antirasuah dalam kalangan penjawat awam.


Menurut Datuk James, penganjuran program ini membuktikan bahawa di bawah kepimpinan YAB Ketua Menteri Sabah, integriti bukan sekadar slogan, tetapi satu budaya kerja yang perlu dihayati dan diamalkan oleh semua warga perkhidmatan awam.


“Rakyat bukan sahaja mahu menerima perkhidmatan, tetapi mereka mahu merasakan perkhidmatan itu disampaikan secara jujur, telus, adil dan berkesan.


Justeru, integriti adalah asas kepada kecekapan pentadbiran serta kunci utama membina keyakinan rakyat terhadap kerajaan,” katanya.


Tema Program yang bertemakan “Setting Up the Boundaries” atau Menetapkan Sempadan, program ini menekankan kepentingan garis panduan dalam setiap aspek pentadbiran.


Program VARSHA Integriti menetapkan empat objektif utama, iaitu: Memantapkan pengetahuan serta amalan nilai integriti dalam kehidupan seharian; Melahirkan warga kerja yang berpegang pada nilai murni dan menghindari perbuatan menyalahi undang-undang; Meningkatkan kecekapan tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan kementerian; dan Meningkatkan kesedaran warga kerja KPMKR serta agensi berkaitan tentang isu, cabaran dan usaha membanteras salah laku berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah.


Dalam pada itu, Datuk James menegaskan bahawa program kesedaran seperti VARSHA Integriti perlu diperluas supaya aspek moral, integriti, kesihatan mental dan profesionalisme dapat diperkasa dalam kalangan penjawat awam.


“Sesungguhnya, sikap kebertanggungjawaban seorang penjawat awam adalah cerminan integrity sesebuah pentadbiran kerajaan. Dengan integriti yang tinggi, pentadbiran akan lebih berkesan, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan,” jelas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN