KENINGAU : Pembantu Menteri Kewangan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Dato’ Sr Mohd Ishak Ayub menyeru rakyat agar terus memperkukuh perpaduan dan semangat kebersamaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026.
Dalam perutusan rasminya, beliau menegaskan bahawa perayaan tersebut bukan sekadar tradisi kebudayaan, sebaliknya membawa mesej pembaharuan azam, pengukuhan institusi kekeluargaan serta pemantapan hubungan antara kaum.
“Tahun baharu adalah ruang untuk kita memperbaharui tekad, mempererat silaturahim dan memperkukuh keharmonian yang menjadi asas kestabilan negeri,” katanya.
Menurut beliau, komuniti Tionghoa memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial, khususnya di kawasan Bingkor dan Keningau, melalui sumbangan dalam sektor perniagaan, pendidikan dan kebajikan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar sambutan Tahun Baharu Cina dijadikan wadah memperkasa kerjasama antara komuniti, memperkukuh ekonomi setempat dan membina masa depan yang lebih inklusif serta sejahtera.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh masyarakat Tionghoa atas komitmen berterusan dalam memelihara keharmonian dan menyumbang kepada kemajuan negeri.
“Semoga Tahun Baharu Cina 2026 membawa kesejahteraan, kesihatan dan kemakmuran kepada seluruh rakyat. Gong Xi Fa Cai. Xin Nian Kuai Le.,” katanya.



