PERJUMPAAN… ASP Azli-Fauzan Othman bersama ejen syarikat dan peniaga bunga api daerah Ranau, baru-baru ini.
RANAU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau hari ini mengadakan perjumpaan bersama ejen syarikat dan peniaga bunga api di daerah ini bagi memperjelaskan garis panduan serta peraturan berkaitan penjualan bunga api, khususnya dari aspek perlesenan dan keselamatan awam.
Mesyuarat yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama IPD Ranau dari 2.30 petang hingga 3.30 petang itu dipengerusikan Ketua Bahagian Pengurusan IPD Ranau, ASP Azli-Fauzan Othman, dengan penyertaan seramai 16 orang wakil ejen dan peniaga.
Turut hadir ialah Pegawai Perlesenan IPD Ranau, Insp. Nurliyana Ali serta Kerani Perlesenan, PF Siti Khadizah Rostam, manakala wakil syarikat yang terlibat terdiri daripada Hua Leong, Amflex, LCM, CK88 Cahaya dan HD Home Theatre.
Menurut ASP Azli-Fauzan, antara fokus utama mesyuarat ialah penerangan mengenai syarat permit dan peraturan undang-undang berkaitan penjualan bunga api di bawah Akta Bahan Letupan 1957, termasuk tempoh jualan yang dibenarkan, lokasi sah serta jenis bunga api yang boleh dijual.
“Pihak polis menekankan kepentingan pematuhan peraturan ini bagi menjamin keselamatan awam dan mengelakkan risiko kemalangan, kebakaran serta kecederaan yang sering dikaitkan dengan penggunaan bunga api,” katanya.
Dalam sesi taklimat, ejen dan peniaga turut diingatkan supaya menyimpan stok di lokasi selamat, tidak menjalankan jualan di kawasan berisiko seperti stesen minyak dan sekolah, serta memastikan tanda had umur pembeli dipamerkan dengan jelas.
Mereka juga ditegaskan supaya tidak menjalankan urus niaga secara dalam talian, tidak menjual bunga api di restoran atau premis makanan, serta hanya menawarkan jualan bagi jenis bunga api yang tersenarai dalam lesen yang sah.
Selain itu, IPD Ranau turut mengingatkan mengenai kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP), termasuk larangan menjual bunga api jenis Happy Boom tanpa kelulusan khas Ketua Polis Daerah, tidak memasang sepanduk yang boleh menghalang pandangan pengguna jalan raya serta mengelakkan sebarang perselisihan akibat persaingan harga yang boleh mencetuskan jenayah.
Mesyuarat tersebut dilaporkan berjalan lancar dan menerima maklum balas positif daripada semua ejen serta peniaga yang hadir.



