Simulasi (Demo) penyuraian rusuhan oleh Pasukan Light Strike Force (LSF) di Pekan Ranau baru-baru ini
RANAU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau sentiasa komited dalam memastikan setiap pegawai dan anggota berada dalam tahap kecekapan tertinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan situasi keselamatan, khususnya dalam suasana pilihan raya akan datang.
Sehubungan dengan itu, para pegawai dan anggota PDRM di sini telah melaksanakan satu Latihan Dalam Perkhidmatan melibatkan simulasi (Demo) penyuraian rusuhan oleh Pasukan Light Strike Force (LSF) yang dijalankan di kawasan letak kenderaan Pentas Budaya, Pekan Ranau.
Latihan ini melibatkan penglibatan elemen Cawangan KDNKA, Unit Kereta Peronda (MPV), Pasukan Cantas Jenayah, Pasukan Narkotik, serta anggota LSF IPD Ranau.
Penganjuran latihan ini bertujuan sebagai pendedahan awal dan langkah persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 Sabah, di samping meningkatkan tahap kesiapsiagaan anggota dan keberkesanan peralatan operasi yang digunakan.
Sementara itu, PDRM Ranau juga telah menerima jemputan sebagai penceramah dalam Kursus Asas RELA Daerah Ranau Tahun 2025 yang berlangsung di Pusat Latihan Kenegaraan Kundasang.
Ceramah bertajuk ‘Kuasa Tangkapan Oleh Preman’ telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) Ranau, ASP Slyvia Martin Dalog.

Antara anggota RELA baharu yang mengikuti Kursus Asas RELA Daerah Ranau Tahun 2025
Kursus ini menghimpunkan seramai 81 orang peserta bakal anggota RELA dari pelbagai daerah sekitar Pantai Barat, Sabah.
Ceramah yang disampaikan memberi penekanan kepada aspek pemahaman undang-undang berkaitan kuasa orang awam dalam melakukan tangkapan, termasuk had serta larangan yang perlu dipatuhi agar tidak melangkaui batas perundangan.
Sesi ini turut membuka ruang soal jawab yang mendapat sambutan positif daripada para peserta.
Pihak penganjur menyampaikan penghargaan kepada PDRM Ranau atas kesudian berkongsi ilmu dan menyatakan hasrat untuk mengadakan kunjungan hormat ke IPD Ranau pada masa akan datang.
Ketua Polis Daerah Ranau P/Supt Mursalin Bin Mahmud mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
“Semoga kerjasama strategik antara RELA dan PDRM terus diperkukuh demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti,” katanya.
Turut hadir ialah Pegawai RELA Daerah Ranau, PgR Mohd Ramdan bin Radin bersama pegawai-pegawai kanan RELA, anggota (BSJD) Ranau, Kpl Noor Hazlan Ab Hamid dan penyelaras anggota RELA.



