ADVERTISEMENTspot_img

Internacionale Julang Piala MP Ranau 2026 Edisi Ketiga

JUARA……..Pasukan Internacionale juara pertandingan Bola Sepak Piala MP Ranau 2026.

Oleh: Salwah Aramat & Editor

RANAU: Pasukan Internacionale muncul juara Pertandingan Bola Sepak Piala MP Ranau 2026 Edisi Ketiga selepas menampilkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan yang berlangsung selama dua hari di Padang A dan B, Kompleks Sukan Ranau, di sini.

Kejohanan yang bermula pada 26 September dan berakhir semalam itu menyaksikan pasukan yang bertanding berentap bagi merebut kejuaraan serta hadiah wang tunai yang disediakan.

Internacionale membawa pulang RM21,000 selepas dinobatkan sebagai juara, manakala BSV muncul naib juara dengan menerima RM13,000.

Kasira dan Kundasang pula berkongsi tempat ketiga, dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM6,000.

Kasira turut dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik dan menerima hadiah wang tunai RM500.

Dalam kategori individu, pemain BSV, Zuraindey Jumai, dinobatkan sebagai Pemain Terbaik atas prestasi cemerlang sepanjang kejohanan.

Pemain Internacionale, Billyton Vui, pula muncul Penjaring Terbanyak, manakala rakan sepasukannya, Brandon Lo Vui Ming, dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik.

Kesemua hadiah kepada pasukan dan pemain disampaikan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda, pada majlis penyampaian hadiah selepas kejohanan berakhir.

Penganjuran Piala MP Ranau 2026 Edisi Ketiga turut memperlihatkan sambutan berterusan terhadap pembangunan sukan bola sepak di daerah itu, selain menyediakan platform kepada pemain tempatan untuk menguji kemampuan dan menyerlahkan bakat dalam suasana pertandingan yang kompetitif.

Kejohanan dua hari itu melabuhkan tirai dengan Internacionale dinobatkan sebagai juara edisi ketiga, manakala pencapaian pasukan serta prestasi pemain dalam kategori individu menjadi antara sorotan utama pertandingan kali ini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN