Awasi dan lain-lain pendaki menikmati keindahan alam dan udara segar di atas Kimondou Hill Kg Kibbas
RANAU: Usaha sedang dilakukan di bawah ‘Inisiatif Sarayoh’ untuk memperkenalkan kawasan di sepanjang laluan Telipok – Ranau yang baru di dalam Kawasan Karanaan sebagai destinasi pelancongan baru dalam waktu terdekat ini.
Naib Ketua Bahagian Parti Warisan Ranau Sabah, Awasi Ganie @ Yasin Bin Abd Ghani berkata inisiatif itu juga merupakan sebahagian daripada usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas di sepanjang laluan Tamparuli – Ranau.
“Kami berharap pada masa-masa yang akan datang, kawasan Sarayoh di DUN Karanaan akan mekar dengan aktiviti pelancongan, di mana hari ini kami telah menyenaraikan sejumlah tempat dan tarikan pelancongan di kawasan ini.
“Ia juga tepat pada masanya kerana kawasan tersebut terletak di sepanjang laluan Telipok – Ranau yang baru yang merupakan jalan yang lebih santai, tanpa adanya lori dan kenderaan berat lain,” katanya.
Awasi mendaftar sebagai salah seorang pendaki seawal jam 5.00pagi
Awasi, yang juga Penyelaras Parti Warisan Sabah untuk DUN Karanaan dan mantan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Karanaan bercakap ketika merasmikan Kimondou Hiking Trail di Kg Kibbas Ranau baru-baru ini.
Dalam acara tersebut, pasukan berkumpul seawal jam 5.00 pagi di titik permulaan di perkarangan gelanggang Bola Tampar berhampiran Brick Cafe untuk mendaftar dan mendengar taklimat perjalanan dari Pengurus Kimondou Hiking Trail Filipa Dauni sebelum memulakan perjalanan.
Perjalanan diteruskan dan tiba di puncak bukit pada pukul 5.45 pagi dan berehat sementara menunggu matahari terbit pada jam 6.08 pagi.
“Syukurlah hari ini cuaca sangat cerah dan Gunung Kinabalau kelihatan begitu indah. Menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan sangat luar biasa. Kami berharap tempat ini akan dibanjiri pengunjung pada masa akan datang,” jelas Awasi.
![](https://www.borneodailybulletin.com/wp-content/uploads/2020/08/IMG-20200817-WA0110-1024x490.jpg)
Pemandangan matahari terbit di atas puncak Kimondou Hill Kg Kibbas Ranau
Rombongan turun sekitar jam 7.30 pagi untuk sarapan di Brick Café yang terletak di sekitar titik permulaan di mana terdapat juga gerai makanan dan sayur-sayuran serta kedai runcit dari pengusaha.
Pengembara yang datang dari jauh dan ingin tinggal di sini boleh menginap di Pogimpaan Homestay yang dikendalikan oleh Nes Jauqueline.
Antara tarikan lain yang terdapat di sekitar kawasan ini ialah Hiking Trail Kg Lipasu Lama, Hiking Hill Gobukon Hill Kg Lipasu, Batu Monoroli Climbing Rock Kg Paka 1, Stingless Bee Farm Kg Kibbas, Rabbit Village Kg Purakagis, Cat Nature Park Kg Purakagis, Tambiau Forest House Kg Tambiau, Kopi Apai Ranau Kg Tambiau, Gunung Rosary Kg Toboh Baru, Bukit Lugas Kg Waang dan pelbagai lagi.