27 C
Kota Kinabalu
Isnin, Februari 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Gelandangan Kurang Siuman Di Pekan Ranau Turut Dikuarantin

Foto APM: Salah seorang gelandangan berada di dalam khemah khas

RANAU: Seramai lima individu kurang siuman yang menjadi gelandangan sekitar pekan di sini telah diselamatkan dan ditempatkan di Dewan Masyarakat Ranau untuk dikuarantin sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Golongan tersebut diselamatkan menerusi operasi khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Ranau, melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan kakitangan Jabatan Kebajikan (JKM), baru-baru ini.

DIPUJUK…salah seorang gelandangan /kurang siuman ketika dipujuk anggota keselamatan -Foto RELA

Pegawai Daerah Ranau  yang juga Pengerusi (JPDB), Yassin Ibrahim berkata, operasi tertumpu di beberapa lokasi yang dipercayai menjadi “sarang” tempat tinggal golongan itu.

Yassin berkata, menerusi rekod yang ada mendapati seramai tujuh individu telah dikenal pasti kurang siuman dan menjadi gelandangan di sekitar pekan. Daripada jumlah itu, lima sudah diselamatkan, manakala dua lagi belum dikesan.

Anggota APM sedang menerangkan sesuatu kepada salah seorang gelandangan ketika berada di Pusat Penempatan Kuarantin. -Foto APM

“Pihak kami yakin akan berjaya mengesan dan memujuk dua lagi individu yang masih bebas untuk ditempatkan di Dewan Masyarakat sebagai pusat kuarantin khas golongan itu.

“Operasi bertujuan menyelamatkan individu kurang siuman atau mempunyai masalah mental yang masih merayau-rayau di sekitar pekan daripada terdedah kepada jangkitan wabak Covid-19.

Selamat dan Selesa..Khemah yang disediakan dalam Dewan Masyarakat Ranau -Foto RELA

“Mereka juga akan menjalani ujian saringan Covid-19 yang dikendalikan kakitangan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Manakala kebajikan termasuk makanan dan pakaian akan diuruskan Jabatan Kebajikan Ranau.

“Sepanjang berada di pusat kuarantin, mereka akan dipantau 24 jam oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM),” jelas Yassin kepada Borneo Daily Bulletin ketika dihubungi semalam.

Tambah Yassin, pihaknya juga akan merangka langkah susulan menangani gelandangan dalam kalangan individu kurang siuman di sini. TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN