PERBINCANGAN…Jamawi (dua dari kanan) bersama pengurus Hypermarket Bataras Goh Thian Teck(kanan) merakamkan gambar kenangan selepas perbincangan tersebut
KOTA KINABALU: Hypermarket Bataras pada dasarnya bersetuju membantu memasarkan hasil-hasil pertanian penduduk kampung dari Kemabong.
Wakil rakyat kawasan Kemabong Jamawi Jaafar berkata beliau telah mengadakan perbincangan awal bersama pemilik /Pengurus Hypermarket Bataras Goh Thian Teck yang menyatakan kesediaan memberikan ruang untuk pemasaran.
” Pada dasarnya mereka bersetuju untuk memasarkan secara langsung hasil hasil pertanian dari kawasan Kemabong di 21 buah Hypermarket Bataras di negeri ini” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perbincangan bersama Pengurus Hypermarket Bataras Goh Thian Teck di sini kemarin.
Menurut Jamawi keyakinan syarikat itu untuk membantu memasarkan hasil pertanian masyarakat Kemabong kerana berkeyakinan dengan kesungguhan beliau untuk membangunkan dan memajukan sektor pertanian di kawasan Kemabong bagi menjana pendapatan masyarakat setempat.
Jamawi berkata sebagai langkah awal sebuah pusat pengumpulan hasil hasil pertanian yang dilengkapi dengan sistem pembungkusan dengan pusat penyimpanan yang berteknologi tinggi akan dibangunkan di Kemabong.
” Kami akan melawat serta mengenal pesti sebuah tapak yang sesuai untuk membangunkan pusat pengumpulan ini dan saya akan menyediakan peruntukan awal untuk membersihkan kawasan ini ” katanya .
Jamawi menambah dengan peluang dan pembinaan pusat pengumpulan ini kelak diharap rakyat di kawasan Kemabong akan mengambil peluang untuk mengusahakan sektor pertanian sebagai sumber untuk menjana ekonomi mereka seharian.
” Dengan peluang ini akan membuka ruang lebih luas kepada penduduk setempat memasarkan hasil pertanian mereka tanpa bergantung kepada pemasaran penjualan hasil hasil pertanian di tamu tamu mingguan” katanya.
Bagaimanapun Jamawi mengingatkan agar para petani menghasilkan produk pertanian yang berkualiti bagi memastikan ianya mendapat harga serta pasaran yang baik