RUNTUH …antara kejadian di Kilometer 85 dan Kilometer 86 berdekatan persimpangan Kg.Bundu Tuhan, Ranau.
RANAU: Hujan lebat berterusan sejak petang Ahad menyebabkan dua kejadian tanah runtuh berlaku di sepanjang laluan Kota Kinabalu ke Daerah Ranau iaitu di Kilometer 85 dan Kilometer 86 berdekatan persimpangan Kg.Bundu Tuhan, Ranau.
Kejadian tersebut menyebabkan laluan perhubungan ke daerah ini terputus sementara waktu bagi kesemua jenis kenderaan termasuk juga kenderaan ‘Essential Service’ yang dibenarkan oleh pihak berkuasa untuk pergerakan rentas daerah dalam tempoh penguatkuasaan pencegahan penularan Covid -19. Bagaimanapun, kerja-kerja pembersihan telah mulai dijalankan oleh pihak konsesi Lintasan Resources Sdn Bhd bagi mengalihkan runtuhan tanah di kedua-dua lokasi kejadian.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Sammy Newton ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan menasihatkan agar para pengguna jalan raya yang ingin membuat perjalanan ke daerah-daerah berkaitan menggunakan laluan alternatif bagi mengelak tersekat di kawasan kejadian.
Tegasnya, laluan alternatif yang disarankan sementara waktu adalah Jalan Ranau-Randagong-Kiulu, Jalan Ranau-Tambunan-Kota Kinabalu dan Jalan Ranau-Kota Marudu-Kota Belud. Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan agar para pengguna jalan raya tersebut sentiasa meningkatkan tahap keselamatan pemanduan khususnya ketika cuaca hujan disebabkan kesemua lokasi laluan ini terletak di cerunan bukit.
Tinjauan dilokasi kejadian mendapati, selain pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM Ranau, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia turut berada di lokasi bagi memantau tahap keselamatan pengguna jalan raya dalam keadaan selamat. Setakat ini tiada sebarang laporan kemalangan jiwa berlaku akibat kejadian tersebut.
end



