Kong Soon Choi
RANAU: Kemajuan teknologi hasil usaha kerajaan selama ini telah melahirkan rakyat celik IT yang mampu menilai apa juga bentuk propaganda mengelirukan pihak tidak bertanggungjawab yang disebarkan melalui media sosial.
Menegaskan perkara itu, Timbalan Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Kong Soon Choi berkata, kemajuan teknologi yang diberikan oleh kerajaan untuk kemudahan rakyat memberi kesan kepada perkembangan minda dan melahirkan masyarakat celik IT serta mampu menilai kesahihan sesuatu paparan berita yang disiarkan dalam media sosial.
“Justeru, apa sahaja paparan berita yang mengelirukan rakyat sudah tentu dapat dinilai dengan bijak. Ketika ini, banyak portal berita online yang digunakan oleh pihak tertentu untuk menyebarkan berita palsu dan berbentuk provokasi demi meraih perhatian rakyat”. Tegasnya.
Justeru, Kong yang juga Ketua Wiramuda Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (Star) menasihatkan mana-mana pihak khususnya kumpulan ‘Cybertrooper’ parti-parti politik pembangkang agar tidak terlalu riak memutar belit sesuatu isu yang memberikan gambaran negatif tentang keharmonian antara parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Antara paparan berita-berita online di media sosial yang disifatkan tidak benar oleh para pemimpin utama Kerajaan GRS.
Tegasnya, sejak pembubaran Parlimen,dapat dilihat dalam paparan media-media sosial beberapa portal berita online yang melaporkan pelbagai tajuk berita tidak sahih yang bertujuan untuk memberi gambaran buruk kepada keharmonian dalam GRS.
“Walhal keharmonian dalam GRS adalah kukuh. Ada pihak sengaja mengapi-apikan sesuatu isu menggunakan portal berita online yang kononnya ada komponen parti dalam GRS tidak lagi sehaluan. Itu semua tidak benar dan ianya rekaan propaganda untuk kelirukan minda rakyat”. Katanya.
Dalam pada itu, beliau juga yakin rakyat negeri ini bijak untuk membuat penilaian dan tidak mudah terpengaruh dengan apa juga propaganda mengelirukan kerana pentadbiran Kerajaan GRS yang mengutamakan kebajikan rakyat telah dinikmati selama ini.
Pemantauan beberapa portal berita online dalam media-media sosial terkesan beberapa tajuk berita yang melaporkan isu-isu politik semasa termasuk dakwaan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah (Dun) serta pendirian Parti Bersatu Sabah (PBS) yang didakwa tidak sehaluan dengan GRS untuk menghadapi PRU-15.
Namun demikian, perkara tersebut telah ditepis oleh kebanyakan pemimpin utama dalam komponen GRS dan menyifatkannya sebagai dakwaan liar untuk kelangsungan politik pihak tertentu.