OLEH SALWAH ARAMAT
RANAU: Hari Kanak-Kanak Sedunia merupakan satu penghormatan dan pengiktirafan kepada kanak-kanak sebagai peneraju kepimpinan masa depan negara.
Guru Besar, Sekolah Rendah (SK) Pekan 2 Ranau, Misniah Binti Radin berkata, negara Malaysia adalah antara 150 buah negara di dunia yang menyambut Hari kanak-Kanak pada bulan Oktober setiap tahun.
Katanya, ini membuktikan keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak sebagai isyarat bahawa semua pihak mempunyai tanggungjawab menentukan perlindungan, kebajikan, kesejahteraan dan hak-hak mereka terpelihara.
”Hari Kanak-Kanak Sedunia perlu diberi sokongan dan kerjasama para ibu bapa bagi menggembirakan kanak-kanak terlibat sekaligus menghargai peranan sekolah serta menunjukkan kesedaran dikalangan masyarakat untuk memelihara hak dan masa depan kanak-kanak.
“Ia juga mempastikan perkembangan secara holistik dari segi fizikal, kognitif, Bahasa, sosio emosi, sahsiah dan rohani dikalangan anak-anak”, jelas Misniah ketika berucap merasmikan sambutan Hari Kanak Sedunia peringkat Prasekolah SK.Pekan 2 yang dihadiri ratusan kanak-kanak bersama ibu bapa dan guru-guru.
Antara acara yang diadakan ialah Pertandingan Kostum Murid Prasekolah, Pertandingan Nyanyian Solo, Pertandingan Bercerita dan persembahan Koir yang bertemakan ‘Cita-Citaku’. -TAMAT-