30 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 24, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Hanya seorang sahaja boleh keluar rumah beli barangan

Sementara kebenaran untuk membawa ahli keluarga lain pula bergantung kepada budi bicara pihak polis,

-Fadillah Yusof-


PUTRAJAYA : Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan hanya seorang sahaja iaitu ketua keluarga dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan dan ubat-ubatan, tegas Menteri Kanan, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sementara kebenaran untuk membawa ahli keluarga lain pula, kata beliau, bergantung kepada budi bicara pihak polis.

Menurut beliau, dari segi dasar pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, hanya seorang sahaja ahli keluarga dibenarkan keluar dari rumah.

“Mengikut Perintah Kawalan Pergerakan, yang dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan, sama ada barangan makanan, ubat-ubatan, hanya dibenarkan seorang iaitu ketua keluarga.

“Itu garis panduan asas. Namun kalau terpaksa bawa orang, dia kena jelaskan kepada polis. Polis akan guna budi bicara,” katanya dalam sidang media, di sini pada Sabtu.

Sekalipun kebenaran keluar rumah diberikan sepanjang tempoh kawalan, namun, individu itu perlu mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan.

“Misalnya berlaku kematian, perlu diterangkan kepada pihak polis. Seboleh-bolehnya kurangkan pergerakan di luar rumah. Hanya keluar apabila perlu, jaga jarak sosial dan cuci tangan,” ujar beliau.

Kata Fadillah, langkah berkenaan bagi memastikan keselamatan diri, keluarga dan semua pihak terpelihara dari COVID-19.

Dalam pada itu, keputusan mengenai tempoh operasi premis perniagaan yang menjual barangan penting akan dibuat kerajaan negeri.

“Pukul berapa kedai barangan itu nak buka dan tutup, kita serah kepada kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing,” ujarnya lagi.

Mana-mana pihak yang terlibat dalam sektor penting masih dibenarkan untuk keluar dan bekerja, namun mengikut garis panduan KKM serta arahan polis.

Sumber: Awani

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN