26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Januari 17, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Hampir RM4 juta untuk ceriakan Merotai: Hajiji

GIMIK..Datuk James melakukan gimik perasmian pecah tanah Tapak Dewan Baharu Kg.Merotai Besar, Tawau.


TAWAU: Ketua Menteri Sabah YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengumumkan peruntukan sebanyak hampir RM4 juta kepada daerah ini bagi tujuan pembinaan serta penambahbaikan beberapa aspek di kawasan Merotai.


Peruntukan sebanyak hampir RM4 juta itu membabitkan kos RM1.9 juta untuk pemasangan lampu solar dan RM2 juta lagi untuk pembinaan dewan tertutup.


“Alhamdulillah, hampir 70 peratus lampu solar LED sudah dipasang dan berfungsi. Ini bermakna lebih separuh jalan utama Merotai telah terang pada waktu malam.


“Ini bermakna hasil inisiatif kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan peranan parti parti komponen yang ada, kita telah membantu kawasan DUN Merotai ini terang sekali gus dapat meningkatkan tahap keselamatan baik di jalan raya mahu pun di kawasan kediaman penduduk khususnya pada waktu malam,” katanya.


Dewan tertutup berhawa dingin ini adalah antara beberapa projek pembinaan infrastruktur di Merotai yang disuarakan oleh Tan Sri Liew ketika sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina anjuran Parti Harapan Rakyat Sabah pada Februari lalu.


Selain dewan yang lain adalah pemasangan lampu solar di sepanjang jalan Merotai iaitu dari persimpangan Jambatan Putih sehingga ke Kampung Sungai Udin, Merotai.


Hajiji yang diwakili Menteri Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Datuk James Ratib berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Tapak Dewan Baharu di Kg Merotai Besar, Tawau pada Isnin.


Sementara itu, katanya, hari ini, tercatat satu lagi sejarah apabila satu lagi pembinaan infrastruktur di Merotai iaitu Dewan Anak Merotai menerusi program pecah tanah yang dilancarkan dalam program itu.


“Ia bakal menjadi satu pusat aktiviti baharu kepada masyarakat setempat yang mana bakal menjadi nadi kepada aktiviti sosial, ekonomi dan kebudayaan masyarakat setempat di Merotai.


“Harapan saya agar dewan ini akan menjadi pusat pertemuan masyarakat — tempat berlangsungnya program keagamaan, latihan belia, bengkel kemahiran, dan pelbagai lagi aktiviti yang dapat menyemai semangat perpaduan serta kekitaan dalam kalangan penduduk.


“Ia juga memberi ruang yang lebih selesa dan selamat, khususnya dengan adanya kemudahan hawa dingin, menjadikan ia sesuai digunakan sepanjang tahun tanpa bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.


Selain itu, katanya, dewan ini berpotensi menjadi pemangkin kepada aktiviti keusahawanan dan perniagaan kecil.


“Para usahawan tempatan boleh menggunakan dewan ini untuk mengadakan ekspo jualan, pasar komuniti, seminar keusahawanan dan pelbagai aktiviti ekonomi yang mampu menjana pendapatan kepada penduduk setempat.


“Lebih penting, pembinaan dewan ini juga telah membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung – baik secara langsung mahupun tidak langsung – sepanjang proses pembinaannya, dan akan terus memberi manfaat dari segi penyelenggaraan dan pengurusan dewan ini pada masa akan datang,” katanya.


Beliau yakin bahawa pembangunan infrastruktur seperti ini akan menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup rakyat luar bandar, sejajar dengan matlamat kerajaan untuk memastikan tiada rakyat yang tercicir dalam arus pembangunan negeri.


Menurutnya, inisiatif pembinaan dewan, lampu solar LED termasuk banyak inisiatif lain yang diwujudkan dan praktikkan adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan GRS dalam memperkasakan pembangunan luar bandar di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).


“Kita percaya bahawa pembangunan yang seimbang antara bandar dan luar bandar adalah kunci kepada kemajuan negeri secara keseluruhan,” kata beliau.


Hajiji menambah, pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sepanjang hampir lima tahun lalu menjadi bukti keupayaan kerajaan negeri memulihkan ekonomi, memperkukuh pembangunan serta menjaga kesejahteraan rakyat biarpun berdepan pelbagai cabaran.


Katanya, segala janji dan perancangan menerusi agenda SMJ telah banyak dilaksanakan, dan walaupun berdepan kata-kata sindiran dan tohmahan, kepimpinan kerajaan ini tetap teguh melaksanakan amanah yang diberikan rakyat.


“Oleh itu, saya berharap rakyat terus bersatu padu dan insha Allah akan lebih banyak lagi pembangunan di bawah ke kawasan ini.


“Saya juga mahu kerja-kerja pembinaan dewan ini berjalan lancar dan siap mengikut jadual yang ditetapkan, Ia seiring dengan komitmen kita yang bukan saja menjana kemajuan ekonomi, tetapi turut komited dalam menyempurnakan pembangunan infrastruktur asas, membasmi kemiskinan tegar dan mensejahterakan kehidupan rakyat seluruhnya.


“Marilah kita bersama-sama menilai setiap kerja yang dilaksanakan oleh GRS seterusnya memberi sokongan untuk kami terus menerajui negeri Sabah sekali gus merealisasikan Sabah yang maju dan berjaya,” jelas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN