“Kesemua penerima adalah daripada sekolah kurang murid dalam DUN Kadamaian. Saya berharap dengan sumbangan ini dapat meningkatkan semangat murid-murid untuk bersekolah,”
-EWON BENEDICK-
OLEH: MARRYAN RAZAN
KOTA BELUD: Hampir 1,000 murid dari 11 buah Sekolah rendah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian menerima sumbangan beg dan peralatan sekolah daripada kerajaan melalui Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.
Majlis pengagihan sumbangan itu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick di Dewan Kadamaian Square, di sini, pada Selesa (hari ini).
“Pada Disember tahun lepas, saya mengadakan perbincangan dengan Datuk Frankie Poon (Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat) memohon kepada kementerian berkenaan bantuan beg sekolah bagi murid-murid yang memerlukan di kawasan saya.
“Dalam perbincangan awal, kita khususkan penerima sumbangan itu adalah daripada sekolah kurang murid bagaimanapun ada tiga buah sekolah yang tidak tersenarai sebagai penerima pada fasa pertama ini iaitu SK Dallas, SK Kaung Ulu dan SK Gonsurai.
“Sekolah-sekolah itu termasuk dua lagi sekolah adventis kawasan DUN Kadamaian akan menerima sumbangan yang sama pada fasa kedua nanti,” katanya, ketika berucap pada Majlis Pengagihan Beg Sekolah Kepada Sekolah-Sekolah Kurang Murid.
Program penyampaian sumbangan yang julung kalinya dilaksanakan di DUN Kadamaian khusus untuk sekolah kurang murid itu bertujuan untuk meringankan bebanan para ibu bapa.
Ewon berharap, sumbangan itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan ibu bapa menyediakan keperluan sekolah untuk anak-anak mereka pada seisi persekolahan tahun 2020.
“Kesemua penerima adalah daripada sekolah kurang murid dalam DUN Kadamaian. Saya berharap dengan sumbangan ini dapat meningkatkan semangat murid-murid untuk bersekolah,” katanya.
Beliau juga mahu agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang khususnya bagi membantu rakyat kurang berkemampuan.
Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan sumbangan touchpoints sebanyak RM3,000 kepada kontinjen Zon Selatan yang akan menyertai kejohanan sukan Majlis Sukan-Sukan Sekolah peringkat Daerah, termasuk membeli baju khas bagi kontinjen perbarisan.
Turut hadir Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Margaret Cornilius, Ketua Seksyen Perkhidmatan Bantuan Sosial, Jane Polus Masundang, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud Junaiddi Sualin, PPM Kadamaian Saikom Watis dan guru-guru besar. –TAMAT–