TOKOH MAAL HIJRAH… Harun (kanan) menyampaikan cendera kenangan kepada Haji Jani Haji Ahmad Tokoh Ma’al Hijrah Pitas.-FOTO AJM
OLEH:HJ MOHD AMIN HJ MUIN
& A.JALIL MADARIN
PITAS: Seorang pendidik, Haji Jani Haji Ahmad 57, seorang guru bertugas di SK Kanibongan Pitas dianugerakan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Daerah Pitas 1447H/ 2025M.
Beliau dilahirkan pada 2 November 1968 di Pulau Musar Kudat.
Anugerah Abdul Rahman A’uf di berikan kepada Daskol Insang 44, seorang usahawan dan kontraktor berjaya dari daerah Pitas.
Anugerah Khalid Al Walid, diberikan kepada Paiboi Mohd Amin 55, bertugas di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (Jheains) Daerah Pitas sebagai Penguatkuasa Undang-Undang Syariah Negeri Sabah, beliau di lahirkan di Kampung Pengaraban Kudat.
Bagi anugerah Tokoh Siti Khadijah Khuwalid penerimanya Puan Dobing@Fatimah Abdullah 54, seorang suri rumah lahir di Kampung Pinawantai Kudat berkeluarga di daerah Pitas.
Anugerah Tokoh Ibnu Uraiqith (Non Muslim) diberikan kepada Encik Tan Bun Dat seorang dermawan.
Dan Anugerah Masjid diberikan kepada Masjid Pangeran Haji Abdul Karim Kampung Kalumpang Pitas.
Berucap merasmikan majlis itu Pembantu Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Harun Durabi berkata hijrah di zaman Rasulullah SAW besar cabarannya dan jauh perbezaannya dengan hijrah di abad ini.
“Di zaman Rasulullah, Nabi Muhammad SAW dan Umat Islam berpindah atau berhirjah dari Kota Mekah ke Kota Madinah dengan keyakinan iman yang teguh kaum Muhajirin dan Ansar bersatu, mereka rela berkorban baik harta mahu pun nyawa demi menegakkan Islam tercinta,” katanya.
Menurut Harun perbezaan hijrah di zaman sekarang ini dunia pancaroba dunia tanpa sempadan, hijrah minda amat di titik beratkan pertama melihat kekurangan dan melihat adanya kelebihan.

BERSAMA PEMENANG… Harun dan isteri mengabadikan gambar kenangan bersama Tokoh dan pemenang pertandingan Kesenian Kompang, Nasyid Marhaban dan Berzanji.
Katanya, kalau melihat kekurangan kita dari segi takwa kita perlu bermuhasabah diri memperbanyak dan memperkasakan lagi usaha murni ke arah meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT ini bermakna perlu banyak penambahan ilmu dunia dan akhirat bukannya penambahan harta benda untuk kekayaan semata-mata tetapi sebaliknya, kalau kita melihat kelebihan yang paling di awasi ialah terhadap sikap yang tidak kita sedari dan terlajak sehingga terjadi egois dan sebagainya yang boleh merosakkan diri mereka sendiri.
“Contohnya, kalau kita seorang penjawat awam bertaraf sederhana tiba-tiba atas sokongan rakan-rakan disebabkan keterampilan kita yang begitu baik sekali maka kita pun dinaikkan pangkat ketingkat yang lebih tinggi ini merupakan perpindahan atau hijrah yang sangat terasa oleh kita dan kita menerima tanggungjawab tersebut dengan penuh amanah dan dedikasi akan tetapi, sekiranya kita dinaikkan pangkat ke jawatan yang tinggi tiba-tiba kita bersikap ego maka hijrah ini tidak memberikan contoh yang patut di teladani sebaliknya kita wajib mengharamkannya daripada dicontohi,” tegasnya.
Justeru itulah, katanya kerajaan meneruskan khazanah yang amat tinggi nilai dan mulianya di sisi Allah SWT untuk sentiasa meneruskan program Sambutan Ma’al Hijrah setiap tahun memperingatkan umat Islam bahawa hijrah itu satu pengorbanan, hijrah itu satu perjuangan, hijrah itu persaudaraan dan hijrah itu membentuk perpaduan memang tepat sekali untuk kita semadikan bukan sahaja kepada diri kita dan keluarga malah kepada keseluruhan umat manusia pelbagai kaum kerana melalui hijrah persaudaraan dan perpaduan memang ada sangkut paut dan ke istemewannya.
Pada majlis itu beliau menyelitkan sebuah pantun empat kerat untuk di ambil kira sebagai panduan dan teladan untuk kita bersama yang berbunyi:
“Asalnya kandis buah gelugur, Masak sebiji di pintu pagar, Duduk menangis di pintu kubur, Terkenang di dunia tidak belajar” inilah yang dinamakan sesal dahulu pendapaatan sesal kemudian tidak berguna yang bersangkut paut dengan hijrah minda yang saya maksudkan.
Harun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bengkoka berkata Majlis Sambutan Ma’al Hijrah dan Mahrajan, Kesenian Kompang, Nasyid Marhaban dan Berzanji Peringkat Daerah Pitas 1447 Hijrah / 2025 Masihi di Dewan Majlis Daerah Pitas adalah acara terbaik untuk setiap insan untuk bermuhasabah diri.
Tambahnya lagi, hijrah perpaduan merupakan kunci segalanya kerana tanpa perpaduan bagaimana kita boleh meneruskan agenda berkerjasama dengan pelbagai pihak sebab itu perpaduan adalah penghubung dan kunci permuafakatan secara menyeluruh.
Hadir sama, Isteri Harun Datin Norhaidah Kili, Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Badan Dakwah Daerah Pitas dan Pengerusi Penganjur Program Asdi @Mohd Faizal Hussin mengetuai Ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, NGO dan warga Pitas yang hadir.



