30 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 19, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

GRS tepis dakwaan Hajiji tiada locus standi sebagai ketua menteri


PETALING JAYA: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menolak dakwaan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin bahawa Ketua Menteri Hajiji Noor tidak mempunyai locus standi untuk kekal dalam jawatan itu selepas meninggalkan Bersatu.

Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun berkata, dakwaan Bung tiada merit memandangkan Hajiji mengangkat sumpah sebagai ketua menteri “secara sah dan mengikut perlembagaan”.

Katanya, Hajiji dan bekas ADUN Bersatu yang lain meninggalkan parti itu bulan lepas dan kesemuanya ahli langsung GRS.

“Terdapat lebih daripada cukup ADUN (GRS) untuk (memperoleh) majoriti di DUN,” katanya dalam kenyataan.

Pentadbiran negeri pimpinan Hajiji goyah selepas Barisan Nasional (BN) Sabah dan Umno menarik balik sokongan mereka kepada ketua menteri malam tadi.

Bung, yang juga pengerusi BN negeri berkata, Hajiji tidak lagi mempunyai majoriti di DUN susulan keputusan BN-Umno itu.

Beliau “tidak lagi layak untuk menjadi ketua menteri”, tambahnya.

Ini berikutan laporan wujudnya percubaan rampasan kuasa yang baharu untuk menggantikan Hajiji dengan Bung sebagai ketua menteri.

Sebagai respons, Masidi memberitahu pemberita malam tadi bahawa enam wakil Umno Sabah tidak bersetuju dengan keputusan Bung untuk menarik balik sokongan, dan mereka mahu Hajiji terus menjadi ketua menteri.

GRS, yang diketuai oleh Hajiji, mempunyai 29 kerusi di DUN dan kekal sebagai parti dominan. Masidi berkata, GRS masih mempunyai majoriti mudah dan boleh kekal berkuasa dengan sokongan penuh tujuh wakil Pakatan Harapan (PH) dan enam wakil Umno.

Dalam kenyataannya hari ini, Masidi menegaskan bahawa Hajiji terus mendapat sokongan majoriti di DUN.

Untuk membentuk kerajaan, majoriti mudah 40 kerusi dalam DUN 79 anggota diperlukan.- FreeMalaysiaToday (FMT)

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN