GOTONG ROYONG…. Mohammad ketika menyertai gotong royong membersihkan kawasan kuaters KKA di Kampung Layang-Layangan.
LABUAN: Gotong Royong Perdana yang dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri dan Perbadanan Labuan (PL) mampu mewujudkan permuafakatan dan pemerkasaan komuniti.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Mohammad Ismail berkata selain itu ia juga untuk memastikan kawasan sekitar kuarters lebih selesa dan kondusif untuk didiami.
“Secara tidak langsung program gotong royong perdana yang julung kalinya diadakan ini juga dapat memupuk kesedaran penghuni kuarters untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan hijau” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Gotong Royong Perdana Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri dan Perbadanan Labuan yang diadakan di kawasan Kuarters Kediaman Kakitangan Awam (KKA) Kampung Layang-Layangan dekat sini, pagi Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Fadzilah Haji Mahmud, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Khairul Azhar (Nik) Abu Bakar, Pemangku Ketua Pengarah, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Haji Awang @ Musran Haji Tawil.
Sementara itu, program yang dilaksanakan seawal jam 7 pagi itu telah disertai lebih 100 peserta yang terdiri daripada penghuni KKA dan komuniti Kampung Layang-Layangan serta pihak berkuasa tempatan.

SUMBANGAN…. Mohammad menyerahkan bakul makanan kepada asnaf kampung Layang-Layangan
Turut telibat menjayakan gotong royong perdanan ini ialah beberapa agensi kerajaan antaranya, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Penerangan Malaysia Labuan.
Sempena dengan program itu, Mohammad turut menyampaikan 50 bakul makanan berupa keperluan harian kepada para asnaf Kampung Layang-Layangan sumbangan YaPEIM.
Selain itu, YaPEIM juga menyampaikan sumbangan wang tunai kepada para pelajar cemerlang.
Sumbangan itu bukan sahaja bertujuan untuk membantu meringankan beban para penerima tetapi juga dapat membantu menyebarluas fungsi dan peranan YaPEIM di pulau bebas cukai ini.



