JAHID Dan Joniston ketika mengagihkan bantuan bakul makanan kepada penghuni Pusat Perlindungan Orang Buta Tuaran.
TAMPARULI: Fakir Miskin, Mualaf dan Ibu Tunggal antara yang menerima sumbangan sempena Program Ziarah Hijrah 2021 Peringkat Daerah Kecil Tamparuli dan Kiulu, dekat sini, pada Ahad.
Antara kampung terlibat adalah Kampung Kauluan, Kampung Tambulaong, Kionsom Lama, Kionsom Rangalau Baru, Malangang dan Pusat Perlindungan Orang Buta Tuaran.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, program berkenaan diadakan bagi membantu golongan memerlukan dalam situasi Pandemik Covid-19.
“Selain mengisi aktiviti sambutan Maal Hijrah, program ini juga mampu menyemarakkan lagi semangat masyarakat bagi menyambut bulan Kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program tersebut di Kiulu, kelmarin (Ahad).
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, Penolong Pegawai Daerah Kecil Kiulu, Justin Ginduk, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak, PPM Kiulu, Golubi Guntarek, Ketua Bahagian Pengurusan Daerah (KBPD) Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran, ASP Raji Hussin Hj Suhodin, Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, dan Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS, Iwansuzairie Hari.
Dalam pada itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, yang juga Wakil Rakyat Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai turut menyambut baik program berkenaan dan menyifatkannya sebagai program yang unik kerana selain Islam, ia turut melibatkan masyarakat dari agama yang lain.
Terdahulu, Pengerusi Penganjur, yang juga Pegawai Tadbir Agama, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Daerah Kecil Tamparuli, Suffian Kundu, menghargai sumbangan pihak Pusat Zakat Sabah sepanjang program itu.
Selain ziarah kepada masyarakat Islam, mereka turut menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduk golongan sasar dan mengadakan kempen kibar Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi semangat menyambut bulan kebangsaan.
Hampir seratus penerima dari dua daerah kecil berkenaan telah mendapat manfaat menerusi program berkenaan.
Sumbangan bakul makanan telah disampaikan oleh Jahid dan Joniston di kawasan masing-masing.
Hadir sama Pegawai Penerangan Daerah Tuaran, Malina Jamarin, Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran, Wanihim Othman, Pegawai Kebajikan Daerah Tamparuli, Siti Faizah Asli, dan para pemimpin masyarakat lain.