27 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Februari 14, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

GIATKAN USAHA MENYEMARAKKAN BUDAYA INOVASI – TAH NIA

Zaini (tengah) menyampaikan piala, johan keseluruhan pertandingan tersebut kepada Linus (wakil PPD),

RANAU: Selaras dengan tema sambutan Karnival Inovasi Zon Tengah (KoRaTT) 2022, ‘Inovasi Merealisasikan Aspirasi JPN Sabah,’ warga pendidik di negeri ini diingatkan agar terus mempergiatkan usaha dalam menyemarakkan lagi budaya inovasi untuk memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan khususnya dalam pendidikan yang lebih cepat, cekap dan berkesan.

Pengarah Pendidikan Sabah, Tah Nia binti Haji Jaman berkata untuk mencapai matlamat dan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, para pendidik perlu berfikiran kritis dan konstruktif dalam menunaikan tanggungjawab dengan mencari penyelesaian kreatif dan inovatif sehingga menjangkau pemikiran dan keberanian untuk bereksperimen dengan menggunakan kaedah kerja baharu di luar kotak kelaziman.

Sehubungan itu, budaya inovatif menjadi agenda utama dalam menghasilkan perubahan berimpak besar dunia pendidikan melalui program-program transformasi dalam usaha meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Usaha-usaha ini perlu disokong oleh semua guru bagi memastikan nilai-nilai kreativiti dan inovasi menjadi budaya kerja dan bukan bermusim atau untuk pertandingan semata-mata. Kadangkala satu pandangan atau idea daripada orang yang biasa mungkin boleh menjadi sesuatu yang ‘luar biasa’ kepada jabatan.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Perasmian Penutupan Karnival Inovasi Zon Tengah (KoRaTT) di Dewan ST. Benedict Ranau, baru-baru ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengarah, Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD, Jabatan Pendidikan Sabah, Mohd Zaini Yanin.

“Saya percaya Karnival Inovasi pada hari ini yang melibatkan tiga buah PPD iaitu PPD Kota Belud, PPD Ranau dan PPD Telupid/Tongod membuktikan komitmen yang ditunjukkan oleh seluruh warga pendidik semua PPD untuk terus membudayakan inovasi dan kecemerlangan bagi meningkatkan kecekapan dalam tugas ‘core business’ seorang guru iaitu sebagai pendidik, pembimbing dan pengajar di dalam kelas,” katanya.

“Inovasi guru-guru pada kali ini pastinya akan memberikan manfaat juga mampu berfungsi sebagai pemangkin kepada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran guru serta memanifestasikan tahap daya fikir, kreativiti dan inovasi yang tinggi,” katanya.

“Saya berharap inovasi, kebolehan dan keupayaan ini dapat terus dibudayakan dan menjadi satu norma dalam menjalankan tugas harian kita. Diharapkan juga agar idea-idea yang diketengahkan dalam karnival ini tidak hanya sekadar dijadikan bahan pertandingan atau medium perkongsian malah akan diguna pakai oleh jabatan, sekolah mahupun guru-guru dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan dan kredibiliti warga pendidik serta stakeholder,” katanya.

 “Jabatan Pendidikan Sabah amat menitikberatkan pembudayaan inovasi yang sangat signifikan kerana inovasi boleh berbentuk produk, perkhidmatan, proses atau teknologi. Inovasi yang dihasilkan mempunyai nilai tambah, berupaya meningkatkan mutu perkhidmatan juga kualiti pendidikan khususnya di negeri Sabah. Hal ini kerana inovasi biasanya dapat dihasilkan dengan segera, berimpak tinggi dan faedahnya dirasai murid-murid dan dengan kos yang rendah” katanya lagi.

“Harapan saya agar guru-guru sentiasa meneruskan pembudayaan inovasi dalam melaksanakan tugas harian dengan menampilkan lebih banyak pendekatan kreatif dan inovatif selaras dengan visi transformasi pendidikan. Dengan hal ini saya menggesa penglibatan semua ketua jabatan iaitu Pengetua dan Guru Besar (PGB) untuk memupuk dan membudaya inovasi dengan mewujudkan persekitaran dan budaya kerja yang mendorong kepada penyuburan nilai-nilai inovasi dan kreativiti. Hal ini kerana ‘lead by example’ dan ‘walk the talk’ sentiasa menjadi ‘mantra’ para pemimpin yang berjaya,’ katanya.

‘Syabas dan tahniah kepada jawatankuasa penganjur dan semua pihak yang terlibat yang bertungkus-lumus dalam menjayakan Karnival Inovasi Zon Tengah (KoRaTT) tahun 2022. Syabas juga kepada semua peserta inovasi pada kali ini. Saya doakan guru-guru akan terus mencari idea-idea baru yang boleh meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran guru yang akhirnya meningkatkan pencapaian kemenjadian murid selaras dengan aspirasi dalam PPPM 2013-2025,” katanya lagi.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN