Mohd Rafi (Dua dari kiri) bersama Azizudin (kiri sekali), pada sidang akhbar bersama pemberita di Pusat Giat MARA Labuan.
LABUAN:Pusat Giat MARA Wilayah Persekutuan Labuan akan menjalankan kerjasama strategik dengan Labuan Shipyard Engineering Sdn Bhd. (LSE) sebagai usaha pusat itu membantu golongan belia memiliki kemahiran yang berkaitan industri perkapalan, minyak dan gas.
Pengerusi Penasihat Pusat Giat MARA Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan berkata satu memorandum persefahaman (MoU) antara kedua dua pihak akan di meterai selewat lewatnya pada November tahun ini.
“MoU itu nanti bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan belia untuk menceburi bidang yang ditawarkan tetapi juga membantu melahirkan lebih ramai golongan belia tempatan yang berkemahiran dalam bidàng minyak dan gas serta perkapalan” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis serahan geran Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) di Pusat Giat MARA Labuan, di sini, pada Khamis.
Dalam waktu yang sama, Mohd Rafi berkata, beliau telahpun memohon kepada kerajaan untuk menjadikan Labuan sebagai hub Pendidikan TVET dalam industri Minyak dan Gas di rantau Borneo melalui Pusat Kemahiran Giat MARA Labuan.
Hadir sama, Pengarah Giat MARA Negeri Sabah, Ts Azizudin Aziz, Penolong Pengarah Giat MARA Negeri Sabah, Mohd Noh Nawawi Dan Pengurus Pusat Giat MARA Labuan, Mohd. Nadzri Nor Ahmad.



