Gerfan
OLEH: VITALIS G. BINGKASAN
SUBANG JAYA: Skuad olahraga terus pancarkan sinar pingat buat Sabah apabila menang satu emas dan satu perak di SUKMA XXII Selangor 2026 pada Selasa.
Kali ini, giliran Gerfan Nigel Frank menyumbang pingat emas menerusi acara lompat bergalah lelaki dengan catatan 4.55m pada pertandingan yang berlangsung di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
Pingat perak acara itu dimenangi Abu Bakar dari Kedah dengan catatan 4.40m manakala gangsa milik Darell Kit Ric Yee dari Pulau Pinang dengan catatan 4.30m.
Skuad olahraga juga sumbang satu pingat perak menerusi acara 4x400m campuran.
Kuartet Sabah yang dianggotai Meagkelvinus Pius, Valdamae Orow, Ady Putra Aqasha dan Siti Morjahera mencatat 3:32.720s.
Pingat emas dimenangi Johor dengan catatan 3:31.450s manakala gangsa milik Sarawak dengan catatan 3:33.360s.
Skuad olahraga sudah meraih empat emas dan tiga perak untuk mendahului senarai penyumbang utama pingat Sabah setakat hari ini.



