27 C
Kota Kinabalu
Isnin, Februari 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Gereja Katolik St Peter Claver Ranau anjurkan upacara perasmian Our Lady of Lourdes & Death March Shrine

Uskup Agung John Wong bercakap di hadapan Our Lady of Lourdes dan Death March Shrine.

RANAU: Gereja Katolik St Peter Claver Ranau (SPCR) menganjurkan upacara perasmian Our Lady of Lourdes & Death March Shrine, yang didirikan sebagai peringatan dan doa bagi mereka yang terkorban semasa peristiwa pahit itu pada 1940-an.


Pelancaran dan pemberkatan Shrine itu disempurnakan oleh Uskup Agung Kota Kinabalu, Yang Mulia Datuk John Wong di sini pada 16 Dis 2021.


Dalam ucapannya, prelatus menyatakan bahawa orang ramai yang datang ke acara itu, bukan sahaja untuk merenung keindahan shrine yang baru dibina, tetapi juga untuk berdoa agar Our Lady of Lourdes memberi syafaat untuk semua, terutama untuk jiwa-jiwa yang mati.


Menurutnya, ia sama seperti yang dilakukan oleh orang Kristian yang sangat kerap meminta orang-orang kudus untuk berdoa dan memberi syafaat untuk mereka.


Rektor SPCR, Rev Fr Nicholas Stephen berkata, tujuan asal pembinaan shrine ini adalah untuk mendoakan roh-roh yang terkorban semasa pendudukan Jepun dan juga roh mereka yang tidak pernah didoakan.

SIAP SEPENUHNYA… Our Lady of Lourdes & Death March Shrine.


“Saya dan Fr Francis Tsen tergerak hati untuk mendirikan monumen atau shrine ini kerana kita tahu di seluruh dunia jika ada mangsa perang dan seumpamanya, kita hanya mendirikan tugu peringatan. Tetapi tiada monumen didirikan khusus untuk mendoakan roh mereka.


“Berpuluh tahun selepas Perang Dunia Kedua, ramai jiwa dibunuh tanpa bersedia dan itulah sebabnya jiwa mereka tidak tenang. Dan sebagai seorang Kristian Katolik, menjadi tanggungjawab kita untuk mendoakan mereka yang telah pergi, terutama mereka yang pergi dengan mengejut,” katanya.


Oleh itu, tergerak rasa belas kasihan apabila mengenangkan jiwa-jiwa yang tidak tenang di alam lain ini, Fr Nicholas dan Fr Francis mengambil inisiatif untuk mendirikan monumen itu, lebih-lebih lagi kerana ramai yang pernah mengalami penampakan bayang-bayang tentera Death March di sekitar kawasan Ranau.


Menurutnya, banyak roh yang tidak disembahyangkan terutama perajurit yang terkorban dalam Death March pada 1945.


Dengan terbinanya shrine ini, Fr Nicholas menjangkakan ia juga akan menjadi mercu tanda bagi Ranau suatu hari nanti, di mana pengunjung dari Britain, Australia, New Zealand dan lain-lain yang mempunyai saudara mara yang terkorban dalam perang dunia boleh datang ke mengunjungi tempat ini sambil mendoakan arwah bapa, datuk atau nenek moyang mereka.


Dalam pada itu, beliau turut berterimakasih kepada Maria Bernidicto dan Johnny Apin atas komitmen dan dedikasi membantu membina shrine sehingga siap sepenuhnya. Tidak dilupakan juga kepada semua para penyumbang dari seluruh negara dan juga umat di paroki Ranau yang telah menderma dan menjadikan shrine ini suatu realiti.


Turut hadir ialah paderi paroki St Peter Claver Ranau Rev Fr Maxmilliano Hontor, Rev Fr Ned Columba Moujing, Pengerusi Majlis Paroki Verus Pinol, antara lain.

Pemberkatan shrine oleh Yang Mulia, Uskup Agung Datuk John Wong




ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN