Paul Kerangkas
KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim diminta supaya tidak dengki dengan kejayaan ribuan penduduk asal Sabah yang menerima geran tanah daripada kerajaan negeri.
Baru-baru ini, Jahid telah meminta agar penyerahan geran tanah oleh kerajaan negeri disiasat.
Bagaimanapun, menurut Paul Kerangkas ini bukti keikhlasan Kerajaan Sabah pimpinan Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal untuk membantu rakyat.
“Nampak jelas PBS dengki dengan kejayaan Warisan.
“Kini Warisan kembalikan hak tanah kepada penduduk yang dulu dinafikan hak mereka. Ini kejayaan Warisan, sebab itu PBS bising.”
“Inilah bukti kukuh PBS dan sekutunya akan mencari seribu dalil untuk menafikan orang Sabah hak tanah mereka,” katanya.
Tambah Paul, pemulangan hak tanah kepada penduduk asal yang berkelayakan adalah tanggungjawab kerajaan.
“Pemulangan tanah kepada Sabahan adalah tanggungjawab kerajaan. Itu hak orang Sabah yang kami pulangkan,” katanya.
Paul yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah menambah, penyerahan geran bukan gimik pilihan raya kerana Kerajaan Warisan sememangnya sudah melaksanakan perkara itu sejak tahun 2018.
“Apabila Warisan mengambil alih pada tahun 2018, kami serta-merta memulakan kerja-kerja pengembalian tanah.
“Perkara ini sudah dimulakan sejak tahun 2018 kerana rakyat yang ditindas sudah cukup merana berpuluh-puluh tahun di bawah BN, takkanlah kita nak suruh mereka tunggu lagi?
“Warisan buat kerja serta-merta agar penduduk Sabah yang berkelayakan boleh mula memiliki tanah mereka secepat mungkin, kemudian bolehlah mereka bercucuk tanam dan sebagainya untuk cari makan secepat mungkin.
“Setakat ini, sudah ribuan geran tanah dikembalikan,” katanya. -Borneo Today