GEORGINA L GEORGE
RANAU: Buat pertama kalinya dalam sejarah, seorang calon wanita, Georgina L George dipilih sebagai calon untuk kawasan N38 Paginatan Ranau dalam Pilihan Raya Negeri di mana beliau akan mewakili parti UPKO.
Untuk rekod, Georgina adalah calon wanita pertama yang bertanding dalam pilihan raya di DUN Paginatan dan merupakan calon wanita tunggal untuk UPKO pada PRN akan datang.
Bercakap kepada media baru-baru ini, Georgina mengatakan, “Ketika kita melihat sejarah sebelum ini, sejak pembentukan DUN Paginatan tidak pernah ada calon wanita dan ini adalah pertama kalinya seorang wanita diangkat sebagai calon.
“Saya melihat ini sebagai sesuatu yang memperkasakan kaum wanita, terutama di Paginatan yang terletak di kawasan luar bandar, dan ini membuktikan bahawa wanita, walaupun tinggal di luar bandar, dapat menjadi pemimpin di kawasan ini.
“Sebagai satu-satunya calon UPKO wanita dalam PRN ini, saya berterima kasih kepada kepemimpinan parti kerana memberikan kepercayaan kepada saya, calon wanita kali ini untuk Kawasan Paginatan,” katanya.
Ditanya apakah hasratnya, beliau memberitahu bahawa antara usaha utamanya adalah untuk memberi kekuatan kepada masyarakat, terutama wanita di luar bandar agar mereka memiliki kemampuan ekonomi yang lebih kuat demi kepentingan keluarga mereka.

“Salah satu masalah utama yang tidak pernah ditangani sepenuhnya adalah mengenai isu pembangunan kerana hingga sekarang, masih banyak aspek pembangunan yang perlu diberikan kepada masyarakat di sini.
“Dan ini akan menjadi kesinambungan dari apa yang telah dilakukan oleh para pemimpin masa lalu. Walaupun ada usaha oleh pemimpin terdahulu untuk mengatasi hal ini, tetapi kita mengakui bahawa sumbangan mereka tidak cukup kerana masih ada kawasan yang sangat memerlukan pembangunan,” katanya.
Menurut Georgina, beliau ingin meneruskan usaha untuk membawa perkembangan di sini dan pada masa yang sama mahu meningkatkan ekonomi masyarakat di Paginatan, dan membuka peluang, terutama kepada wanita, untuk membantu mereka menjana pendapatan untuk keluarga mereka.
“Oleh itu, kami akan membuat perancangan bagaimana untuk membantu masyarakat, terutama wanita di luar bandar untuk sama-sama menyumbang ekonomi bagi diri mereka sendiri, keluarga mereka dan masyarakat,” jelas beiau.
TAMAT