ADVERTISEMENTspot_img

Gara gara simpan 180 liter minyak diesel tanpa permit, pemilik tapak binaan di kompaun

Pegawai Penguatkuasa KPDN Labuan ketika memeriksa minyak diesel yang disimpan tanpa permit di tapak binaan Kiansam.

LABUAN: Gara gara menyimpan 180 liter minyak diesel tanpa kebenaran bertulis dari Pengawal Bekalan, pemilik tapak binaan di kawasan Kiansam di sini dikompaun oleh Penguatkuasa KPDN dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Labuan, pada Jumaat.

Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain berkata, pemilik berkenaan dikompaun selepas gagal menunjukan permit kebenaran bertulis dari Pengawal Bekalan dalam satu Operasi Ops Pantau 2026 dan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina yang dijalankan disekitar kawasan luar bandar Labuan.

“Dalam operasi tersebut, sepasukan anggota telah menjalankan pemeriksaan di sebuah tapak pembinaan di Jalan Kiansam, Labuan.

“Hasil pemeriksaan mendapati pemilik tapak berkenaan menyimpan minyak diesel sebanyak 180 liter di dalam sembilan (9) gelen tanpa memiliki permit menyimpan atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan”, katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Beliau berkata, kes tersebut telah diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan minyak diesel berkenaan telah disita bagi siasatan lanjut. Nilai sitaan dianggarkan RM477. 00.

Jika sabit kesalahan, pemilik tapak binaan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Dalam perkembangan berasingan seorang peniaga runcit di kawasan luar bandar turut dikenakan tindakan kompaun atas kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal iaitu ubi kentang import (China).

Junaidah menegaskan KPDN Labuan akan terus komited melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara harian melalui Ops Pantau 2026 serta penguatkuasaan berterusan sepanjang tempoh SHMMP TBC 2026 bagi memastikan pematuhan peniaga sentiasa berada pada tahap yang ditetapkan, sekali gus melindungi kepentingan pengguna dan menjamin kestabilan bekalan di pasaran.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN