Brenjen sumbang pingat pertama Sabah
Oleh: Vitalis G.Bingkasan
KOTA KINABALU: Gangsa isi pertama kantung pingat Sabah di Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 sumbangan atlet berbasikal Brenjen Bob Jacob.
Brenjen meraih pingat itu dalam acara Downhill Individu Lelaki di Denai Peladang Agro, Saujana Utama, Selangor pada Jumaat.
Pelumba berusia 20 tahun dari Ranau itu mencatat masa 2 minit 04.519 saat untuk menamatkan laluan sejauh 900 meter, sekali gus menamatkan saingan di tempat ketiga daripada 19 pelumba yang bertanding.
Pingat emas dimiliki atlet Negeri Sembilan, Zane Aydeen Mohd Faisal dengan catatan 1:58.146, manakala perak diraih Tengku Mukhriz Tengku Mansor dari Pahang dengan masa 1:59.653.
Turut mewakili Sabah ialah Ryan Zeck Badimin yang menamatkan cabaran di kedudukan ke-15 dengan catatan 2:16.523.
Kejayaan Brenjen ini menjadi suntikan semangat buat kontinjen negeri yang masih memburu pingat dalam beberapa acara lain.



