Irene (lima dari kanan) mendapat sambutan wairawati dari Nizam (empat dari kanan), pegawai-pegawai MSN Sabah, pegawai Persatuan Angkat Berat Sabah dan ahli keluarga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu hari ini.
Oleh: Vitalis G. Bingkasan
KOTA KINABALU: Irene Jane Henry, 21, kembalikan sinar kilauan pingat Sabah di pentas Komanwel dengan meraih pingat gangsa acara angkat berat Sukan Komanwel 2026 Glasgow baru-baru ini.
Kejayaan itu menamatkan kemarau pingat 16 tahun atlet Sabah selepas Arrico Jumitih mencipta sejarah juga dalam acara angkat berat dengan angkatan emas pada Sukan Komanwel 2010 New Delhi.
Membuat penampilan pertama di pentas Sukan Komanwel di Glasgow beberapa hari lalu, Irene yang bertarung dalam kategori 48kg wanita, meraih gangsa dengan angkatan keseluruhan 167kg menerusi 77kg angkatan snatch dan 90kg angkatan clean and jerk.
Angkatan snatch atlet berasal dari Tambunan itu juga merupakan rekod baru kebangsaan.
Jumlah angkatan keseluruhan Irene itu hanya kurang satu kilogram berbanding pemenang pingat perak, Ruth Asuquo Nyong dari Nigeria yang mencatat jumlah angkatan 168kg menerusi 75kg angkatan snatch dan 93kg angkatan clean and jerk.
Pingat emas dimenangi Mirabai Chanu Saikhom dari India dengan jumlah angkatan 190kg (85kg snatch dan 105kg clean and jerk).
Kehadiran Irene di Lapangan Terbang Antarabanga Kota Kinabalu hari ini mendapat sambutan wirawati oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, pegawai-pegawai Majlis Sukan Negeri Sabah, warga Persatuan Angkat Berat Sabah dan ahli keluarga.
Nizam berkata, kejayaan Irene bukan sahaja membanggakan Kerajaan Sabah tetapi seluruh rakyat Sabah kerana berjaya mengharumkan nama negeri dan negara di persada antarabangsa.
“Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan saya sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam bidang sukan tetapi juga seluruh rakyat Sabah.
“Kejayaan ini juga membuktikan bahawa atlet Sabah memiliki kemampuan bersaing dengan atlet terbaik dunia sekiranya diberikan latihan, bimbingan dan sokongan berterusan,” katanya.
Nizam berharap, kejayaan Irene itu menjadi inspirasi kepada generasi muda Sabah berusaha mengejar kecemerlangan dalam bidang sukan tanpa mengabaikan pendidikan.
Nizam seterusnya mengumumkan insentif tunai RM10,000 dari Kerajaan Negeri buat Irene atas kejayaannya itu.
Katanya, ia adalah sebagai tambahan kepada insentif RM20,000 daripada Majlis Sukan Negara.
Sambil itu, Irene berkata, kejayaan itu menyemarakkan lagi semangatnya untuk terus berusaha memajukan diri dalam sukan angkat berat.
“Saya akan berusaha untuk terus majukan diri…. untuk menang emas….perlukan usaha,” kata Irene sambil memberitahu bahawa tiada kejohanan dalam masa terdekat ini untuk disertainya.



