Benedict (kedua kiri) merakam gambar kenangan
RANAU: Ibu bapa perlu terus menggalakkan anak-anak sekolah bergiat aktif dalam bidang sukan, kerana ia boleh menjadi pelaburan yang menguntungkan yang terbukti apabila ia menjadi salah satu penyumbang kepada ekonomi negara.
Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda berkata bukan sahaja sukan melahirkan individu yang sihat dan berdisiplin, ia juga membuka jalan ke arah generasi yang berdaya saing dari segi ekonomi.
“Bersukan bukan sahaja menajamkan fizikal dan mental malah sukan juga dapat mengelak kanak-kanak atau pelajar daripada terjerumus kepada perkara yang tidak sihat. Ini menjadikan generasi individu berkualiti yang handal menyumbang kepada masa depan negara.
“Sekarang kita dapat lihat malah sukan adalah salah satu penyumbang kepada ekonomi negara. Ini bermakna, ia bukan sekadar keseronokan dan permainan, malah prospek serius yang boleh menentukan kesan masa depan kita,” katanya.
Benedict yang mewakili Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan MSS Zon Garas ke-22 yang diadakan di SK Tibabar pada Khamis.
Ke arah itu, beliau menggesa semua sekolah, guru dan ibu bapa memastikan aktiviti sukan sentiasa diadakan dan terus berusaha dengan niat murni tanpa jemu mendidik anak-anak atau pelajar ke menara gading.
“Kepada semua ibu bapa, antara saranan saya adalah untuk terus menggalakkan semangat yang terbaik untuk anak-anak mereka dalam bidang sukan dan memberi sokongan penuh kepada guru serta memberi kerjasama yang terbaik kepada usaha ke arah kecemerlangan sukan,” katanya.
Sementara itu Benedict berkata usaha melahirkan lebih ramai individu muda yang aktif bersukan juga selaras dengan visi kerajaan untuk melahirkan rakyat yang sihat dan berdaya saing.
“Ini memberi kita lebih alasan untuk meneruskan penglibatan kita dalam sukan dan menggalakkan penganjuran pelbagai kejohanan dalam kalangan masyarakat, terutamanya di sekolah, kerana kita mahu merancang ini dari usia yang sangat muda,” katanya.
Dalam program itu, beliau menyempurnakan upacara membakar obor, memeriksa kontinjen, dan pada masa sama menyampaikan piala, pingat dan hadiah kepada pemenang pelbagai acara dalam kejohanan itu.