ADVERTISEMENTspot_img

Futsal wanita SUKMA Sabah bertekad cipta sejarah

Skuad futsal wanita SUKMA Sabah 2026 bertekad cipta sejarah sebagai pasukan pertama menang emas SUKMA.

Oleh: Vitalis G. Bingkasan

KOTA KINABALU: Skuad futsal wanita Sabah bertekad mencipta sejarah sebagai pasukan pertama meraih pingat emas untuk Sabah dalam dalam acara itu di  temasya Sukan Malaysia (SUKMA).

Pengurus pasukan, Herwan Mohd Daud berkata, SUKMA XXII Selangor 2026 adalah medan terbaik mengotakan tekad itu selepas acara berkenaan tidak dipertandingkan pada SUKMA Sarawak 2024.

Beliau berkata, mereka hadir dengan motivasi tinggi dan mensasarkan sekurang-kurangnya menamatkan saingan di podium dengan pingat emas menjadi sasaran utama.

“Harapan dan sasaran kami pada edisi kali ini memang besar. Kami mahu sekurang-kurangnya berada di podium dan sudah semestinya emas menjadi buruan.

“Pada masa sama, kami mahu menjadi pasukan futsal wanita Sabah pertama yang memenangi emas,” katanya ketika dihubungi semalam.

Herwan berkata, pasukan telah membuat persiapan terbaik yang termampu termasuk pendedahan perlawanan persahabatan dan kejohanan empat penjuru.

Proses pemilihan pemain juga telah dibuat dengan teliti, bermula dengan senarai panjang pada awal Mei sebelum disenarai pendek pada Jun hingga Ogos.

Sabah diundi memulakan saingan peringkat kumpulan di Kumpulan B bersama Selangor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan.

Selangor akan menjadi lawan pertama Sabah pada 15 Ogos, diikuti Kelantan (16 Ogos) dan Wilayah Persekutuan (17 Ogos).

Kesemua perlawanan dijadualkan berlangsung di Venue Sporttiza, Batu 3, Shah Alam.

Beliau turut berharap pemain dapat menampilkan disiplin, semangat juang dan keyakinan tinggi sepanjang kejohanan bagi merealisasikan sasaran yang ditetapkan.

“Yang penting, pemain perlu percaya kepada kemampuan pasukan dan memberikan komitmen sepenuhnya dalam setiap perlawanan.

“Kami mahu bermula dengan baik dan mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN