Evanz (kiri) menerima anugerah kemenangan The King of The Pacific International 2024
RANAU: Berbekalkan tekad untuk mengharumkan nama tanahair dalam bidang modelling, Evanz A Petrus, 28 seorang anak jati dari daerah Ranau maju selangkah lagi mencapai impiannya selepas merangkul ‘Winner The King of The Pacific International 2024’.
Beliau yang lahir dalam keluarga kampung di Kg Lungkidau, Paginatan Ranau, sejak kecil mahu mengubah kehidupan keluarganya dengan membuktikan bahawa suatu hari boleh mendabik dada dengan pencapaian ‘From Nothing to Something’.
Buat masa kini, Evanz sedang aktif dalam kerja khidmat masyarakat di mana dia bekerja di Pusat Jagaan Orang Tua Holy Family Residence, Papar.
Perjalanannya dalam karier sebagai seorang peraga fesyen bermula dengan beberapa detik yang tidak disangka, yang memulainya untuk mengikuti pertandingan-pertandingan yang diadakan di semua peringkat dari anjuran kampung, sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Bagaimana saya termasuk dalam dunia pageantry, rasanya, setiap perjalanan bermula dengan langkah pertama, dan begitu juga kisah saya dalam dunia pageantry.
“Jujurnya, bidang ini bukan sesuatu yang pernah saya rancang sejak awal. Namun, perjalanan hidup membawa saya ke arah yang tidak disangka-sangka, dan hari ini saya bersyukur atas setiap pengalaman yang membentuk saya,” katanya.
Evanz berkata, semuanya bermula apabila kakaknya, Beathres Petrus mencadangkan supaya menghadiri sesi uji bakat untuk pertandingan pertandingan tempatan iaitu Mr Kaamatan dan Mr Parai Wagu.
“Pada awalnya, saya merasa ragu-ragu… saya tidak pernah berfikir bahawa saya mempunyai potensi untuk menjadi seorang model. Tetapi dorongan daripada keluarga dan rakan-rakan memberi saya keberanian untuk mencuba.

Evanz muncul Pemenang The King of The Pacific International 2024
“Ketika saya melangkah ke uji bakat pertama itu, saya masih ingat betapa gugupnya saya, namun, jurulatih di sana melihat sesuatu dalam diri saya yang saya sendiri tidak sedar.
“Mereka mengajar saya cara berjalan di atas pentas, mengekspresikan diri di hadapan kamera, dan yang paling penting, percaya pada keunikan diri sendiri,” katanya.
Menurut Evanz, langkah pertama ialah membuka banyak peluang lain, dan beliau mula menghadiri lebih banyak sesi latihan.
Dari situ, beliau belajar bahawa dunia peragaan bukan hanya tentang kecantikan fizikal, tetapi juga disiplin, keyakinan, dan usaha keras.
“Pengalaman paling berharga saya adalah masa pertama kali berjalan di pentas besar semasa menyertai pertandingan The King And Queen of Pasific International 2024.
“Ini adalah sebuah pertandingan yang dihadiri oleh ramai peserta dari luar negara iaitu Philippines, Monggolia, Singapore, Indonesia,United Kingdom, France dan Korea. Pertandingan ini juga dinilai oleh pemain-pemain yang sangat berpengalaman dalam industri ini.
“Rasanya seperti mimpi yang menjadi kenyataan. Saat itu, saya sedar bahawa saya telah menemui sesuatu yang bukan hanya pekerjaan, tetapi juga minat yang mendalam,” katanya.
Evanz berterima kasih kepada Borneo Daily Buletin (BDB) kerana memberi peluang untuk menceritakan kisah beliau dan berkata, bidang ini telah mengajar beliau untuk menghargai diri sendiri, menghormati proses, dan terus berkembang.
“Saya berterima kasih juga kepada setiap individu yang telah membantu iaitu MP Ranau Datuk Jonathan Yasin (Sponsor), Penganjur Acara Dr. Erle Luke Henry, Pengarah Kebangsaan Malaysia Erlvina Henry, Pengarah Kebangsaan Pulau Borneo-Indonesia, Sabah, Sarawak, Brunei Veronika Krowin, Makeup Artist Carls E Sayun, serta National Costume Designer from NBS’ Collections Nazir Baduh Samah.
“Tidak lupa kepada Jurulatih Catwalk Mohammad Ikmar, Penganjur Filipina Utara Prof Dr Childe Libertad, Jurugambar Rasmi Dari Filipina Jonas Yu, Pereka Pakaian Resort dari Filipina Don Na Babasanta, dan Koreografi dari Filipina Gerald Salayog.
“Saya juga berterima kasih kepada 21 rakan peserta dari Filipina, Korea, Monggolia, Malaysia, Singapura, Pulau Borneo Indonesia, United Kingdom, Perancis dan juga jurusolek serta pereka saya,” katanya.
Walaubagaimanapun, tidak semuanya indah bagi Evanz tatkala beliau menceritakan pengalamannya apabila menerima jolokan dalam hal body shaming, masalah kewangan dan tiada sokongan daripada masyarakat setempat.
Tetapi beliau terus cekal dan menerima semua itu sebagai pengajaran dan juga batu loncatan untuk melangkah lebih tinggi lagi dalam kariernya itu.
Sebaliknya beliau juga mendapat banyak kenangan yang positif sepanjang penglibatannya dalam bidang ini.
“Pengalaman paling manis, apabila mendapat dua gelaran dalam pertandingan baru-baru ini iaitu Winner King of The Pacific Innovation 2024 & People Choice Award dalam pertandingan King & Queen of The Pacific International 2024.
“Pertandingan itu menunjukkan Malaysia sebagai negara tuan rumah dan ianya diadakan di The Palace Hotel, KK pada 14 Disember 2024,” katanya.
Nasihat Evanz kepada belia-belia di luar sana ialah jangan pernah takut untuk bermula, walaupun langkah pertama terasa sukar.
“Kembangkan rangkaian, jaga disiplin, dan sentiasa percaya pada keunikan diri sendiri. Dunia ini mencabar, tetapi ia juga penuh dengan peluang bagi mereka yang berani.
“Berkatanya saya disini, bukan hanya sebagai pemenang, tetapi juga seseorang yang ingin menginspirasi orang lain untuk mengejar impian mereka, walaupun kelihatan mustahil pada awalnya.
“Dunia peragaan telah menjadi sebahagian daripada hidup saya, dan saya tidak sabar untuk melihat ke mana perjalanan ini akan membawa saya. Seperti yang pernah dikatakan oleh Mahatma Gandhi, ‘Kekuatan tidak datang daripada kemampuan fizikal, tetapi daripada semangat yang tidak pernah menyerah’,” jelas beliau .