30 C
Kota Kinabalu
Selasa, Julai 23, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

FKAT Medan Promosi Kepelbagaian Budaya Sabah

KETIBAAN…Hajiji disambut dengan meriah daripada warga Tawau yang hadir.

TAWAU : Kerajaan akan terus memastikan kekayaan budaya yang dimiliki rakyat berbilang kaum terus dikekalkan sekali gus menjadi daya tarikan pelancong datang ke negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, penganjuran Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) adalah antara medan mempromosikan khazanah budaya dan tradisi suku kaum yang diwarisi di negeri ini.

“Sabah terkenal sebagai negeri yang kaya dengan budaya etnik yang pelbagai serta keindahan alam semula jadi yang unik dan menarik.

“Kepelbagaian budaya dan keindahan alam flora dan fauna itu adalah antara aset dan khazanah negeri yang amat bernilai.

“Oleh hal yang demikian, aspek budaya dan adat tradisi suku kaum serta keindahan alam semula jadi yang menjadi khazanah kita ini, wajar terus diketengahkan menerusi festival ini.

“Usaha seperti ini sudah pasti merancakkan lagi pertumbuhan industri pelancongan di negeri ini, termasuk di Tawau.

“Dalam masa sama, penganjuran program sebegini turut memberikan ruang dan peluang kepada masyarakat setempat, khususnya usahawan, menjana pendapatan melalui penjualan produk-produk berunsur tradisi, seperti kraftangan dan makanan etnik,” katanya ketika berucap merasmikan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) Siri Ke-9 Tahun 2024 di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau berkata dengan siapnya Pusat Kebudayaan AntarabangsaTawau (TICC) nanti, FKAT yang diadakan secara tahunan ini akan mempunyai bangunan kekal selain menjadi tempat penganjuran pelbagai program bertaraf dunia.

“TICC ini juga akan menjadi pusat pengembangan budaya yang utama di luar ibu negeri Kota Kinabalu.

“Kerajaan Negeri juga sentiasa menyokong usaha murni seperti ini ke arah melestarikan khazanah budaya turun temurun, mempromosikan sektor pelancongan, membangunkan ekonomi rakyat dan negeri seterusnya memupuk perpaduan dan keharmonian di kalangan rakyat,” ujarnya.

Menurut Hajiji, penganjuran festival FKAT pada kali turut disertai peserta dari negara luar iaitu dari Indonesia, Thailand dan India.

“Ini sudah pasti secara tidak langsung, ia turut mengeratkan lagi hubungan dua hala antara negara kita Malaysia dengan negara-negara berkenaan.

“Saya berharap festival ini dapat dikekalkan menjadi acara tahunan yang bukan sahaja mampu menyatupadukan rakyat melalui persembahan kebudayaan, malah sebagai wadah untuk melihat sendiri budaya dari negara luar,” tambahnya lagi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Joachim Gunsalam, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan,  Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui, Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Suryady Bandy dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Joseph Pang.- PENERANGAN

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN