ADVERTISEMENTspot_img

Festival bukan sekadar wadah hiburan tapi untuk diwarisi, kata Harun

CENDERHATI … Ibrahim (kanan) menyampaikan cendera kenangan kepada Harun sambil disaksikan oleh Along, Awang dan yang lain

OLEH: HJ M.AMIN HJ MUIN
DAN A.JALIL MADARIN

PITAS: Masyarakat pelbagai etnik di daerah ini hendaklah menjadikan festival kebudayaan sebagai jambatan untuk mengukuhkan perpaduan dikalangan masyarakat pelbagai kaum di daerah ini khasnya.

“Sebagai negeri yang mempunyai berpuluh-puluh etnik dan budaya, acara kebudayaan yang kita warisi dari golongan terdahulu wajar dijadikan warisan agar tidak hilang ditelan zaman,” kata Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Pitas, Datuk Harun Ismail.

Berucap merasmikan Festival Kebudayaan Etnik Orang Sungai Daerah Pitas, Harun berkata acara seperti ini juga dapat menghimpunkan ramai pengunjung dan kehadiran mereka disediakan dengan pelbagai aktiviti kebudayaan sebagai budaya warisan masyarakat tersebut secara turun temurun.

“Festival ini bukan sekadar wadah hiburan semata mata namun, ianya sebagai manifestasi semangat perpaduan serta penghargaan terhadap identiti dan adat resam yang menjadi tunjang jati diri komuniti setempat,”tegas Harun

Beliau berharap semoga festival ini terus menjadi platform untuk menjalin silaturahim dan memperkukuhkan semangat perpaduan kaum disamping memperkayakan nilai budaya bangsa Sungai serta mempromosikan “Pitas di Hatiku” sesuai dengan slogan yang tersohor masa kini.

Harun yang juga Presiden Pertubuhan Dusun Islam Sabah (PDIS) berkata festival seumpama ini wajar diteruskan agar generasi baharu dapat mengenali budaya mereka.

Harun mengucapkan tahniah atas usaha yang dilakukan oleh Kawasan Rukan Tetangga (KRT) Kampung Senaja bersama Persatuan Bangsa Sungai Sabah Daerah Pitas (SABAS) menganjurkan acara gilang gemilang di Dewan Terbuka Aki Sasa Kampung Senaja ini.

Terdahulu Pengerusi Persatuan Bangsa Sungai Sabah Daerah Pitas Ibrahim Abdul Sani antara lain berkata, program ini dianjurkan sebagai aktiviti atau kalendar tahunan KRT dan SABAS disamping untuk mengeratkan hubungan silaturahim dikalangan ahli dalam persatuan dan memperkasakan pelbagai aktiviti agar persatuan ini sentiasa kukuh tidak pupus ditelan peredaran zaman.

Tambahnya, SABAS sentiasa menitik beratkan hubungan kekeluargaan didalam persatuan disamping menyantuni masyarakat luar yang berkomunikasi dengan SABAS sebab persatuan ini pernah menganjurkan pelbagai kejohanan sukan air contohnya yang memberi ruang dan peluang masyarakat luar daerah mengambil bahagian dalam kejohan tersebut.

Hadir sama, Pegawai Kemajuan Masyarakat Daerah Pitas Ariffin Matasin, Pengerusi KRT Kampung Senaja Along KK Badawi, Pegawai Khas kepada Harun, Ikmal Atong dan Abdul Majit Tarip@Man mengetuai warga kerja DHI, Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah PBS Pitas Awang Okik dan warga kerja penganjur serta pemimpin komuniti setempat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN