Oleh: Syukri Seridih
RANAU: Pemimpin muda serta golongan pelapis perlu diberikan peluang menerajui kepimpinan parti untuk kekal relevan dan diterima rakyat pelbagai peringkat.
Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ranau, yang juga wakil rakyat Karanaan, Datuk Seri Panglima Hj Masidi Manjun, berkata setiap parti akan melalui fasa ”peremajaan kepimpinan” dalam setiap masa.
“Kadang-kadang kita sukar untuk mendapat pemimpin yang lebih baik kerana kita tidak memberi peluang kepada orang lain untuk menjadi pemimpin di semua peringkat.
“Kita jangan mempunyai sikap kedekut dalam memberi peluang kepada orang lain khususnya orang muda untuk menjadi pemimpin,” katanya.
Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Negeri Sabah, berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Bersatu Bahagian P.179 Ranau, di Dewan Masyarakat Ranau, pada Sabtu.
Menurutnya, pertukaran pemimpin kepada pemimpin pelapis perlu laksanakan setiap masa dan harus diterima kerana pengundi bertukar setiap masa.
“Dalam pilihanraya yang akan datang pengundi adalah mereka yang berumur 18 tahun ke atas. Kita perlu mengatur strategi politik dan kepimpinan kita dengan mengambil kira perubahan ini.
“Hakikatnya, pemimpin muda adalah penyambung legasi perjuangan parti agar kekal relevan pada setiap masa.
“Justeru, jangan takut memberi peluang kepada pemimpin yang lebih muda. Kalau ini yang kita lakukan, parti dan perjuangan kita akan bertahan sampai bila-bila.
“Pada akhirnya, yang penting bukan kita sebagai pemimpin tetapi nilai dan kualiti kepimpinan yang dibawa untuk mewariskan kepimpinan yang sama kepada generasi yang lebih muda daripada kita,” ujarnya.
Bagi Masidi, inilah filosofi politik yang harus menjadi landasan perjuangan kerana pasti sampai masanya, pemimpin yang ada ketika ini akan berundur untuk bagi peluang kepada orang lain.