27.3 C
Kota Kinabalu
Khamis, Mac 27, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Fasa peralihan endemik bermula 1 April disambut baik

BELURAN: Pengumuman Kerajaan mengenai fasa peralihan ke endemik bermula 1 April depan disambut baik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib.

Mengulas perkara itu, beliau berkata keputusan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia merupakan langkah bijak kerajaan setelah membuat pelbagai penilaian risiko yang wajar bagi membolehkan rakyat kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal.

Ujarnya lagi, ia sudah tentu membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk meningkatkan semula ekonomi yang terjejas sejak lebih dua tahun lepas akibat penutupan dan sekatan beberapa sektor perniagaan dan pekerjaan.

“Saya menyambut baik keputusan Perdana Menteri yang sekaligus menjadikan kehidupan masyarakat kembali hampir normal. Saya percaya pelbagai golongan masyarakat turut menyambut baik pengumuman itu”. Jelasnya.

Namun demikian, James yang juga Pembantu Menteri Pertanian Dan Perikanan Negeri Sabah berkata, rakyat perlu sentiasa mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan apabila memasuki fasa endemik kelak.

Tegasnya, keputusan itu bukanlah suatu peluang untuk terlalu teruja sehingga melupakan amalan SOP kesihatan, sebaliknya gunakanlah peluang itu dengan lebih bertanggungjawab agar kesihatan seluruh masyarakat terus terjamin.

“Kita sudah sekian lama menggunapakai SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Tidak mungkin lagi ada masyarakat yang tidak faham dan apabila memasuki fasa endemik, ianya merupakan amalan wajib yang tidak perlu lagi di ulang tegur dan patuhilah sepenuhnya.”, Katanya.

Beliau ditemui pada Selasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebelum berlepas ke Johor Bahru bagi membantu jentera kempen Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Negeri Johor Ke-15.

Dalam masa sama, James turut yakin dengan pembukaan semula sempadan negara, pasca pemulihan ekonomi khususnya industri pelancongan, pertanian dan perikanan akan terus dapat dipertingkatkan semula.

Jelasnya, sepanjang pandemik, pasaran sayur-sayuran dan buah-buahan memang mengalami penurunan kerana ramai pembeli luar negara tidak dapat memasuki negeri Sabah untuk mendapatkan bekalan.

Beliau memberi contoh pembeli dari negara Brunei Darussalam yang sering memasuki Negeri Sabah khsusunya ke Tanah Tinggi Kundasang untuk membeli bekalan sayur-sayuran dan buah-buahan mengalami kesukaran sepanjang pandemik melanda negara.

“Dengan pembukaan semula sempadan negara, ianya akan merancakkan semula perniagaan itu dan para pengusaha ladang turut mendapat manfaat daripada itu”. Katanya.

Pada Selasa, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan peralihan fasa endemik dan pembukaan semula sempadan negara yang bermula pada 1 April depan namun masih tertakluk kepada beberapa SOP yang ditetapkan kerajaan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN