KOTA BELUD: Calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Dewan Undangan Negeri (DUN Kadamaian) Datuk Ewon Benedick selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi berdaftar di pusat mengundi SK Kiau hari ini.
Ewon yang juga Naib Presiden UPKO tiba di pusat pengundian itu pada jam 8.00 pagi dan selesai mengundi kira-kira jam 8.15 pagi.
Beliau merakamkan ucapan penghargaan kepada semua rakyat Kadamaian yang menerima baik kehadirannya dalam tempoh berkempen selama dua minggu dan juga memberi sokongan selama dua tahun menjadi wakil rakyat kawasan itu sebelum ini.
“Selamat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi berdaftar kepada seluruh rakyat Sabah di DUN Kadamaian. Semoga dapat memilih wakil rakyat dan kerajaan negeri baharu yang terbaik,” katanya.
Jumlah pemilih berdaftar di DUN Kadamaian seramai 18,040 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.
Daripada jumlah itu, 28 peratus adalah pengundi berumur antara 31 dan 40 tahun, 22 peratus ( 60 tahun ke atas), 22 peratus (41 – 50 tahun), 19 peratus (51 – 60 tahun) dan 10 peratus adalah pengundi berumur antara 18 – 30 tahun.
DUN Kadamaian menyaksikan pertandingan enam penjuru iaitu Ewon, Dr Beting Giling dari Parti Cinta Sabah (PCS); Demis Rumanti (PBS); Duanis Mogirong (BN-PBRS); Raiting @ Mohd Farhan (Bebas) dan Leduning Lengik @ Ernest, Parti Liberal Demokratik (LDP).