24.9 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Mei 16, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Ewon Sedia Peruntukan RM140,000 Bantu Sekolah-Sekolah DUN Kadamaian

OLEH: MARRYAN RAZAN

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick menyediakan peruntukan sebanyak RM140,000 untuk membantu sekolah-sekolah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian yang memerlukan bantuan tahun ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, peruntukan itu adalah daripada peruntukan touchpoints Adun dan peruntukan khas menteri.

Ewon (tengah) bergambar bersama wakil PPD Kota Belud dan guru-guru besar sekolah kawasan Kadamaian

“Sebagai sokongan berterusan kepada program-program sekolah di DUN Kadamaian, pada tahun ini, saya menyediakan peruntukan touchpoints sebanyak RM40,000 untuk membantu pelbagai program anjuran sekolah-sekolah di Kadamaian.

“Saya juga akan menyediakan peruntukan sebanyak RM50,000 untuk memulakan pembekalan meja-meja murid sekolah secara berperingkat-peringkat ke sekolah-sekolah dan akan diteruskan tahun hadapan dan RM50,000 lagi untuk membantu keperluan sekolah-sekolah tadika persendirian Kota Belud yang kebanyakannya di bawah pentadbiran mission.

“Saya berharap peruntukan ini sedikit sebanyak membantu menyediakan keperluan pembangunan akademik sukan dan fasiliti sekolah di kawasan DUN Kadamaian,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Kejohanan Sukan Olahraga Majlis Sukan Sekolah (MSS) Zon Selatan kali ke-43, di padang SK Tamu Darat, di sini, hari ini.

Ewon menyampaikan sijil penghargaan kepada guru besar SK.Kaung.

Kejohanan Sukan Olahraga MSS Zon Selatan itu disertai lebih 300 murid daripada 18 buah sekolah rendah kawasan DUN Kadamaian.

Turut hadir Penolong Pegawai Pendidikan Unit Pendidikan Swasa Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud (PPDKB) Peter Ladzim, Guru Besar SK Gensurai merangkap Pengerusi Pengelola Kejohanan Talip Karim dan guru-guru besar sekolah rendah yang menyertai kejohanan itu.

Ewon menyampaikan sijil penghargaan kepada guru besar SRA Gaur yang turut menyertai kejohanan itu.

Ewon berkata, beliau juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah untuk mengagihkan keperluan beg-beg sekolah kepada murid yang telah dikenalpasti di kawasan Kadamaian.

Mengenai Dewan Square Kadamaian, beliau berkata, warga Kadamaian termasuk pihak sekolah boleh menggunakan kemudahan dewan baharu itu secara percuma untuk pelbagai program.

“Bagi sekolah-sekolah dari Kadamaian, kadar sewa adalah percuma kerana pejabat UPPM Kadamaian akan menggunakan peruntukan touchpoint saya selaku ADUN Kadamaian untuk membayar sewa kepada Majlis Daerah Kota Belud,” katanya.

Ewon bergambar bersama kontinjen SK Kiau.

Terdahulu iti, Ewon turut meluangkan masa meninjau kerja-kerja pembangunan Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Kg Pinasang Tamu Darat. Dalam kunjungan singkat itu, beliau menyampaikan sumbangan RM20,000 daripada peruntukan beliau sebagai ADUN Kadamaian untuk membantu penyiapan bangunan gereja tersebut. –TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN