31 C
Kota Kinabalu
Rabu, Disember 4, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Ewon Salur Peruntukan RM100,000 Bina Asrama Desa Kemabong

OLEH: MARRYAN RAZAN

KEMABONG: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick telah meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi membina sebuah Asrama Desa di Kemabong Lama untuk kemudahan para pelajar.

Dalam lawatan kerja beliau ke DUN Kemabong pada Isnin, beliau telah meluangkan masa meninjau “asrama sementara” yang dibina secara bergotong-royong oleh para ibu bapa berhampiran SK Kemabong untuk dijadikan sebagai penginapan anak-anak mereka yang bersekolah di sekolah itu dan juga di SMK Kemabong.

Keadaan rumah penginapan pelajar yang perlukan perhatian semua pihak.

“Wakil Rakyat Kemabong, Jamawi Jaafar telah memaklumkan saya berkenaan keadaan “asrama sementara” itu yang yang didiami para pelajar dari kampung Rundum, Sumambu, Kapulu, Katubu, Kengkawang, Kolorok, Patian dan Ungga. Saya meluangkan masa meninjau sendiri keadaan rumah tersebut dan saya amat sedih melihat keadaan mereka.

“Apapun saya amat menghargai semangat mereka untuk bersekolah. Ianya mengingatkan saya kepada pengorbanan dan perjuangan ibu saya sendiri menyekolahkan anak-anaknya walau sesusah manapun dia.

“Sebab itulah saya meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 di bawah peruntukan khas menteri saya pada tahun ini untuk membina sebuah asrama desa bagi kemudahan pelajar-pelajar ini,” katanya.

DAIF … Ewon dan Jamawi meninjau keadaan “asrama sementara” di Kemabong Lama, yang dibina secara bergotong-royong oleh ibu bapa pelajar yang menginap di rumah itu.

Ewon seterusnya meminta agar Pejabat Daerah Kecil Kemabong menjadikan projek kecil tersebut sebagai keutamaan untuk disegerakan.

“Saya akui peruntukan ini tidak mencukupi jika dibandingkan dengan keperluan sebenar para pelajar tersebut. Tetapi saya berharap lebih banyak pihak akan turut sama tampil membela masa depan para pelajar luar bandar di sini,” katanya.

Sementara itu Jamawi berkata, beliau telah mencadangkan supaya sebuah Asrama Desa dibina di kawasan itu untuk kemudahan dan keselesaan serta keselamatan para pelajar yang tinggal di rumah daif itu.

Ewon dan Jamawi bersama sebahagian daripada penghuni “asrama sementara” itu

“Saya amat terharu apabila YB Datuk Ewon bersetuju meluluskan peruntukan RM100,000 bagi tujuan pembinaan asrama desa tersebut. Untuk tujuan ini, saya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak-pihak berkenaan,” katanya.

Turut serta dalam lawatan itu, Ahli Parlimen Tenom Noorita Sual dan para pemimpin setempat. –TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN