SIMBOLIK PELANCARAN … Ewon dan Tan Sri Richard menunjukkan poster Ewon, calon UPKO N11 Kadamaian.
KOTA BELUD: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick akan memastikan agenda pembangunan yang terkandung dalam Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 dapat dijayakan.
Calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) N11 Kadamaian itu berkata, pelan pembangunan itu merangkumi semua aspek termasuk pembangunan infrastruktur, ekonomi, sosial, budaya dan alam sekitar.
“Pilihanraya Negeri Sabah akan diadakan pada 26 September ini. Rakyat Kadamaian akan memilih semula Wakil Rakyat.
“Dalam tempoh dua tahun, saya telah berusaha sebaiknya melaksanakan tanggungjawab saya dan saya sentiasa bersedia meneruskan tanggungjawab tersebut untuk penggal seterusnya berasaskan kepada satu manifesto sahaja, iaitu menjayakan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian, 2020-2035,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya N11 Kadamaian, di Dewan Kadamaian Square Taginambur, di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum.
Turut hadir, Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis, Pencadang Jmbobby Simon dan Penyokong Dr.Rizoh Bosorong
Ewon ketika berucap pada majlis itu.
Ewon yang juga Ketua Upko Kota Belud berkata, melalui pelan ini, Kadamaian akan dibangunkan berasaskan kepada dua sektor ekonomi utama iaitu pelancongan dan pertanian melalui jaringan kemudahan infrastruktur asas dan pembangunan keusahawanan desa.
“Pelan ini kini menjadi sebahagian daripada dokumen rasmi Kerajaan Negeri Sabah dan menjadi input utama Kadamaian untuk rancangan-rancangan pembangunan negeri dan negara.
“Selaku Wakil Rakyat, tanggungjawab saya yang seterusnya adalah memastikan pelan ini dicakupi dalam Rancangan Malaysia Keduabelas, Ketigabelas dan Keempatbelas.
“Saya juga telah memulakan inisiatif untuk melaksanakan beberapa aspirasi dalam pelan ini khususnya projek pembangunan berskala kecil dan sederhana di kawasan Kadamaian dan mendapat sokongan penuh daripada Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal termasuk menyediakan peruntukan yang saya pohon bagi memulakan pembangunan berfasa pusat ekonomi di Taginambur, tempat di mana pelan pembangunan ini dilancarkan,” katanya.
Ewon berkata, dalam tempoh dua tahun, pelbagai jenis kemudahan ameniti sosial telah dibangunkan di Kadamaian untuk memulakan aspirasi dalam pelan itu.
“Melalui inisiatif saya dan pasukan Kadamaian, kita berjaya mendapatkan nilai peruntukan melebihi RM18 juta dalam tempoh dua tahun daripada pelbagai sumber peruntukan yang disalurkan melalui Pejabat Daerah Kota Belud, khusus untuk DUN Kadamaian.
Ewon bergambar bersama semua penyokong Warisan Plus pada majlis itu.
“Ini belum termasuk pembangunan yang dilaksanakan sendiri oleh pelbagai kementerian, agensi dan jabatan Kerajaan di Kadamaian. Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai Wakil Rakyat Kadamaian untuk berusaha merunding, mencari, membubut dan memastikan pelaksanaan pembangunan sesuai dengan pelan ini.
“Kita sudahpun melangkah ke arah pelaksanaan pelan ini, namun penularan pandemik Covid-19, seterusnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, pertukaran Kerajaan di peringkat Persekutuan dan pembubaran Dewan Undangan Negeri menjadi cabaran. Apapun, semua itu harus menjadi motivasi,” katanya.
Sehubungan itu Ewon berharap pengundi Kadamaian dapat membuat pilihan terbaik bagi memastikan kesinambungan pembangunan yang telah dirancang sebelum ini.
“Para pengundi kawasan Kadamaian boleh memilih Wakil Rakyat tanpa menjatuhkan maruah dan prinsip sesiapa, sebaliknya menghargai sumbangan, peranan dan pencapaian semua wakil rakyat Kadamaian yang dipilih selama ini.
“Kita menghargai perbezaan politik. Ianya bukan soal parti siapa tetapi ianya mengenai bagaimana aspirasi rakyat diurus dengan sebaiknya oleh pemimpin,” katanya.