ADVERTISEMENTspot_img

Ewon harap Glide Technology terus melabur dalam sektor perindustrian Sabah

Ewon ketika ditemui media

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berharap Glide Technology Sdn Bhd terus melabur dalam pembangunan perindustrian di negeri itu, termasuk menerusi kerjasama dengan syarikat tempatan Sabah.

Beliau berkata, Glide Technology kini telah membangunkan produk pelincir, Kinabalu Lubricant, untuk pasaran rantau BIMP-EAGA dengan pangkalan operasi pengeluarannya di Sabah.

“Saya berharap dapat melancarkan produk ini pada bulan hadapan atau setidaknya pada Januari tahun hadapan.

“Saya juga berharap Glide Technology dapat terus melabur bagi pembangunan perindustrian di Sabah termasuk bekerjasama dengan syarikat tempatan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Glide Technology Sdn Bhd dengan Etu Energias SA, di Menara MATRADE, di sini, hari ini.

Ewon berkata, perjanjian berkenaan melibatkan pembangunan sektor huluan penerokaan petroleum sebagai peluasan kerjasama sedia ada kedua-dua pihak dalam sektor huluan industri petroleum.

“Saya berbangga melihat perkembangan Glide Technology dan Glide Group of Companies iaitu syarikat tempatan Malaysia yang berjaya meneroka kerjasama antarabangsa bersama dengan Etu Energias daripada Angola,” katanya.

Beliau turut mengimbas pelancaran MPOB-GLIDE Palm Oil-Based Insulating Oil yang disempurnakannya sebelum ini.

Menurutnya, produk berkenaan merupakan minyak penebat pertama berasaskan 100 peratus minyak sawit yang dihasilkan menerusi kerjasama Glide Technology dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN