31 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 12, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Ewon Bidas Kenyataan Khairuddin Berkenaan Syor Sempadan Pilihanraya

Ewon Benedick

KOTA KINABALU: Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick membidas kenyataan Pengarah Strategi PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang mencadangkan pengubahan sempadan pilihanraya yang boleh menguntungkan Islam Melayu.

“Negara Malaysia adalah berbilang kaum, bukan untuk Islam Melayu sahaja. Cadangan ini terlalu ekstrem dan bertentangan dengan semangat kepelbagaian kaum Malaysia,” kata Ewon.

Beliau menambah, “jika ini adalah perjuangan PAS dalam Kerajaan Persekutuan hari ini, maka nyata sekali Perikatan Nasional (PN) itu bukan mempeduli semua rakyat seperti yang mereka mahu usahakan. Dan nyata sekali PN hanya mahu menguntungkan Islam Melayu sementara penyertaan kaum lain hanya kosmetik semata-mata.”

“Kenyataan PAS itu sangat berbahaya kepada Sabah dan Sarawak. Saya tidak pasti apakah pendirian parti PBS, STAR, PBRS dan SAPP yang menyekutukan parti mereka kepada PAS melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PN. Nampaknya suara mereka juga tidak akan mampu menyekat pengaruh PAS dalam Kerajaan yang ada pada hari ini,” tambah Ewon.

Khairuddin yang juga merupakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi memuatnaik kenyataan bahawa PAS melihat keperluan untuk memenangi pilihanraya umum (PRU-15) dengan majoriti 2/3 agar perubahan sempadan pilihanraya yang menguntungkan Islam Melayu boleh diusahakan.

“Apakah PBS, STAR, PBRS dan SAPP akan membantu PAS memenuhi hasrat mereka ini? Dan apakah rakyat Sabah akan menyokong hasrat PAS ini?

“UPKO tidak dapat menyokong pendirian tersebut kerana saya dan kami berpendapat bahawa rakyat dan kepimpinan Sabah bersetuju menyertai penubuhan Malaysia pada tahun 1963 bukan untuk menguntungkan satu-satu kaum sahaja. Cukuplah perubahan sempadan pilihanraya Sabah yang dibuat pada tahun 1993 mengubah landskap politik Sabah sehingga hari ini,” kata Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN