27 C
Kota Kinabalu
Isnin, Februari 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Ewon Bidas Kenyataan Ahli Parlimen PAS Yang Mengatakan Kitab Injil Dipesongkan

Ewon

KOTA BELUD: Caretaker Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick membidas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh daripada PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh yang mengatakan bahawa “Kitab Injil ini dipesongkan atau diubah”.

Ewon menyatakan keterkilanan beliau terhadap kenyataan Ahli Parlimen PAS tersebut yang sama sekali tidak membantu dalam memperkasakan keharmonian antara agama di negara ini.

“Nyata sekali, kenyataan beliau tersebut telah melangkaui batas dan sensitiviti penganut agama Kristian di negara ini. Tidak wajar bagi beliau untuk membuat ulasan ke atas Kitab Injil yang menjadi pegangan suci penganut Kristian sejak agama ini bertapak di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ewon menambah, “Penganut agama Islam juga pastinya tidak akan duduk diam jika mana-mana individu dari agama lain membuat ulasan tentang Al-Quran. Begitu juga dengan buku suci agama-agama lain.”

“Dewan Parlimen sepatutnya menjadi tempat di mana wacana perpaduan negara melalui keharmonian pelbagai kaum dan agama boleh diperkasakan oleh Ahli-Ahli Parlimen. Jika ucapan-ucapan begini dibuat, bagaimana mungkin negara majmuk Malaysia boleh terus maju ke hadapan sebagai sebuah keluarga besar,” katanya.

Nik Muhammad telah mengeluarkan kenyataan tersebut dalam ucapannya di Parlimen pada 26 Ogos yang lalu.

“Sebagai warganegara yang mempunyai kepercayaan agama masing-masing, biarlah kita menghormati sensitiviti agama masing-masing sepertimana sepatutnya yang dinyatakan dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukunegara. Ini termasuklah penggunaan kalimah Allah di kalangan penganut Kristian kerana ia sememangnya sudah digunakan dalam Kitab Injil, terutama bagi gereja-gereja di Sabah dan Sarawak.

“Penganut Kristian hanya mahu hak dan sensitiviti mereka dihormati kerana mereka juga mahu memberi rasa hormat kepada agama-agama lain,” katanya.

Ends

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN