ADVERTISEMENTspot_img

Evan rangkul emas memanah recurve

Evan bersama Nizam (kiri) dan Mansur (kanan) di podium selepas majlis penyampaian pingat.

Oleh: Vitalis G. Bingkasan

KAJANG: Sabah diceriakan dengan sebutir pingat emas dari Evan Rich Chong Qi Wei dalam acara memanah recurve perseorangan lelaki pada SUKMA XXII Selangor 2026 di Stadium INSPEN, disini pada Khamis.

Evan merangkul pingat emas selepas menafikan pesaingnya dari pasukan tuan rumah Selangor, Muhammad Irfan Hilmi dengan kemenangan 7-1 pada final.

Perjalanan Evan ke podium bermula dengan kemenangan 6-0 ke atas Harith Anas (Kelantan) pada pusingan 16 pemain dan mengalahkan Rafi’i Zaidi (Kedah) 6-2 di pusingan lapan pemain untuk mara ke suku akhir

Evan terus membuat panahan konsisten mengatasi Muhammad Amirul Haziq (Pahang) 7-1 di suku akhir sebelum menyingkirkan Muhammad Haiqal Danish (Pahang) 6-2 untuk mengesahkan tempat ke final  dan merangkul pingat emas.

Dalam satu lagi aksi final, Catherine Looi Mei Qi gagal menggandakan pingat emasnya apabila tewas tipis satu mata ketika membuat perhitungan terakhir dengan Puteri Qaira Qistina (Perak) dalam acara compound perseorangan wanita.

Catherine terpaksa akur hanya menang pingat perak apabila tewas 142-143 pertarungan itu.

Apapun, ia adalah pingat kedua Catherine selepas menang emas  acara pusingan kelayakan compound 50m wanita pada Isnin.

Turut menyaksikan pemanah bertarung ialah Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan SUT merangkap Chef De Mission kontinjen SUKMA Sabah Datuk Mansur Asun.

Sehingga petang Khamis, skuad memanah Sabah sudah menyumbang dua emas, satu perak dan satu gangsa.

Gangsa dimenangi Quik Chern Xin dalam acara recurve 70m lelaki pada Rabu.

Sabah masih boleh mengharapkan pingat dari sukan memanah yang dijadualkan akan berlangsung sehingga Sabtu ini.

Pingat perak Catherine itu adalah yang kedua dimenangi Sabah pada Khamis kerana di Stadium UPM Serdang, Nur Syifa Raisha Adnan menang tempat kedua acara 800m wanita.

Sabah juga menambah tujuh gangsa (setakat jam 7.00 petang Khamis) untuk jumlah kutipan pingat keseluruhan 13 emas, 12 perak dan 17 gangsa.

Pemenang gangsa pada Khamis ialah Alaziz Aziz (800m lelaki), Muhammad Alianafiah (angkat berat 110kg lelaki), Mohammad Ayron/Muhammad Anilrian Normatrud (terjun 10m platform seirama lelaki), Kuan Zhan Yang (lawan pedang epee individu lelaki), Syed Ali Syed Ahmad (lempar cakera lelaki), pelari  4x400m wanita (Valdamae Orow, Nia Jovic Suan, Siti Norjahera dan Priscellona Grace) dan perenang 4x100m rampaian campuran (Laura Lee Yen Nie, Emmanuel Loh, Md Ikwan Haziq, Chu Xin Ying).

Pencapaian terkini itu meletakkan Sabah di kedudukan kesembilan di kalangan 15 pasukan.

Tiga kedudukan teratas masih didahului pasukan tuan rumah Selangor dengan 38 pingat emas, 42 perak dan 30 gangsa diikuti Terengganu (31e, 29p, 24g) dan Wilayah Persekutuan (29e, 25p, 21g).

Temasya sukan ini yang  telah dirasmikan pada 15 Ogos akan berlangsung sehingga 24 Ogos dengan tawaran keseluruhan 468 pingat emas dari 37 jenis sukan yang dipertandingkan.

Sabah mensasarkan 40 pingat emas dari 36 sukan yang disertai.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN