ADVERTISEMENTspot_img

Empat Sektor utama dikenalpasti dalam memacu semula pertumbuhan ekonomi Labuan-Liew

Liew (tengah), Lo Su Fui ( kanan) dan Husni pada sidang media bersama pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Labuan.

LABUAN: Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata pihaknya telah mengenal pasti empat sektor utama yang mampu memacu semula pertumbuhan ekonomi Labuan.

Katanya empat sektor itu membabitkan sektor minyak dan gas, perkhidmatan kewangan, pembangunan industri pelancongan serta industri berkaitan makanan.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama pemberita selepas melakukan lawatan kerja dua hari ke Labuan yang berakhir pada Rabu.

Liew berkata, usaha juga akan turut ditumpukan kepada mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, di samping menangani cabaran kos logistik yang tinggi melalui pembangunan industri tempatan.

Selain itu katanya, beberapa isu lama termasuk berkaitan industri dan peraturan sedia ada telah dibincangkan, di samping keperluan untuk Labuan menyesuaikan hala tuju dengan perubahan landskap ekonomi global.

Katanya, pendekatan lama yang memberi tumpuan kepada perlindungan kekayaan semata-mata perlu diperluas kepada peranan yang lebih besar, termasuk menyokong pembangunan ekonomi serantau.

“Labuan berpotensi untuk diperkasa dengan pelbagai usaha inovasi dalam pengurusan bandar dan pembangunan pulau”, katanya.

Dalam pada itu beliau berharap hasil lawatan ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif inovasi, sekali gus meletakkan Labuan sebagai sebuah pusat yang sinonim dengan penghasilan idea-idea baharu.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Indera Suhaili Abdul Rahman, Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Mohd Husni Muhamad Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN