Naib Pengerusi Persatuan Penggiat Media Labuan, Teo Hock Soon (kanan sekali) menerima replika cek daripada Azizan (dua kiri) sambil diperhatikan Ketua Pengarah Labuan FSA, Nik Mohamed Din Nik Musa ( dua dari kanan)
LABUAN: Empat buah badan bukan kerajaan (NGO) di pulau ini dipilih untuk menerima sumbangan daripada syarikat AMSTrust Company Limited.
Empat buah badan bukan kerajaan itu ialah Persatuan Penggiat Media Labuan, Masjid Al-Muzakirullah Kampung Lubok Temiang, Labuan Austism Care Centre dan Special Olympic Labuan.
Mereka masing-masing menerima sumbangan RM2,500 yang disampaikan oleh Pengerusi AMSTrust, Haji Azizan Mohd Som pada Majlis sambutan Ulang tahun ke 10 penubuhan syarikat itu yang diadakan disalah sebuah hotel terkemuka di sini, pada Sabtu.
Selain itu, AMSTrust juga turut memberikan pengiktirafan menerusi Anugerah Lama Berkhidmat kepada seorang kakitanganya yang telah berkhidmat lebih 10 tahun iaitu Rosinah Ahmad.
Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Eksekutif IBFC Inc., Datuk Iskandar Mohd Nuli, Mantan Ketua Pengarah Labuan FSA, Datuk Danial Mah Abdullah dan Pengarah AMSTrust Labuan, Rita Mohd. Sharif serta pemain industri dan kakitangan Syarikat AMSTrust Limited.
Terdahulu, Azizan ketika berucap pada majlis itu berkata, AMSTrust merupakan sebuah Syarikat Amanah berlesen di bawah kawal-selia Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) dan telah beroperasi sejak 2013.
“Syarikat yang kami tubuhkan ini telah banyak membantu syarikat dari dalam dan luar negara untuk menubuhkan entiti luar pesisir di Labuan” katanya.
Aktiviti lain yang turut dijalankan sempena sambutan ulang tahun ke 10 AMSTrust ialah menganjurkan Pertandingan Golf yang diadakan di Kelab Golf Labuan.