Ellron (dua dari kiri) sambil disaksikan oleh pengerusi-pengerusi JPKK empat kampung memukul gong sebagai simbolik perasmian Dewan Nasimpungan.
SOOK:Empat kampung di Mukim Dalit iaitu Kampung Maliliah, Kampung Karamatoi Laut, Kampung Karamatoi Tengah dan Kampung Kuala Aging kini mempunyai sebuah dewan serbaguna yang dinamakan sebagai Dewan “Nasimpungan”.
Hampir sedekad, penduduk empat kampung tersebut tidak mempunyai dewan serbaguna yang kondusif dan selesa, akhirnya mereka boleh menarik nafas lega apabila Dewan Serbaguna mereka dirasmikan pada hari ini.
Perasmian dewan yang terletak di Kampung Karamatoi itu disempurnakan oleh Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin.

Ellron yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Sook dalam ucapannya amat berterima kasih dengan agensi Perbadanan Pinjaman Sabah kerana telah menerima gesaannya agar satu Dewan Serbaguna didirikan di Kampung Karamatoi bagi menggantikan dewan mereka yang suda uzur dan tidak selamat digunakan.
“Saya selaku wakil rakyat di N.45 Sook amat berterima kasih kepada agensi Perbadanan Pinjaman Sabah kerana telah menyahut seruan saya untuk menyalurkan sumbangan CSR mereka bagi membina dewan serbaguna kampung Karamatoi, Sook” kata Ellron.
Beliau berharap agar dewan yang dibina ini memberikan kelegaan serta keselesaan kepada penduduk kampung untuk menganjurkan pelbagai acara dan program kampung.

Beliau juga mengharapkan agar penduduk kampung terus memelihara dan memanfaatkan sebaiknya kemudahan dewan ini untuk kebaikan warga kampung.
“Inilah hasrat dan aspirasi saya selaku wakil rakyat Sook iaitu menyediakan kemudahan infrastruktur yang terbaik untuk warga Sook, hari ini misalnya perasmian Dewan Nasimpungan yang bakal memanfaatkan empat buah kampung sekitar” katanya.
Difahamkan pembinaan dewan serbaguna ini merupakan salah satu agenda pembangunan yang ditunggu-tunggu oleh warga Karamatoi, dan mendapatkan perhatian wakil rakyat Sook akhirnya telah terlaksana menerusi sumbangan CSR Perbadanan Pinjaman Sabah serta usaha Datuk Ellron sendiri.
Hadir sama dalam majlis tersebut Setiausaha Politik Kementerian Belia dan Sukan Jyrenus Pagut, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM)Sook Tony Talasoi, Pengerusi Penganjur Ambangau Kankong Ketua-Ketua Kampung dan Pengerusi-Pengerusi JPKK keempat-empat buah kampung serta warga kampung sekitar.