Jamawi (kiri) merakam gambar di hadapan jentera mini bomba yang disumbangnya.
TENOM: Sebuah jentera mini elektrik bomba sukarela bakal memperkukuh sistem tindak balas kecemasan apabila ia ditempatkan khusus untuk Dewan Undangan Negeri DUN Melalap.
Jentera berkenaan merupakan sumbangan Pengerusi Lembaga Pembangunan Ekonomi Sabah (SUDC) Datuk Jamawi Jaffar, dengan nilai anggaran sebanyak RM45,000.00
Menurut Jamawi, dengan kapasiti sifar pelepasan karbon, jentera elektrik ini bukan sahaja mesra alam, malah dilengkapi peralatan asas pemadaman kebakaran dan sistem amaran kecemasan yang sesuai untuk kegunaan di kawasan kampung dan luar bandar.
Katanya, jentera mini ini adalah persiapan bagi Pasukan Bomba Sukarela Melalap yang kini menunggu kelulusan daripada pengurusan atasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)
“Bakal ahli-ahli pasukan bomba sukarela di sini nanti akan dilatih oleh JBPM tentang penggunaan jentera dan penyelamatan” katanya.
Jentera mini ini dijangka mempercepatkan tindak balas pasukan sukarelawan atau bomba komuniti dalam menghadapi kebakaran rumah, hutan kecil, serta insiden kecemasan lain di kawasan yang sukar diakses oleh balai bomba utama.
Inisiatif ini turut mencerminkan aspek keselamatan komuniti luar bandar, selaras dengan agenda pembangunan hijau dan kebajikan rakyat di peringkat akar umbi.
Jamawi yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Melalap memberitahu, jentera mini bomba ini telah diuji oleh JBPM Tenom dan ia mempunyai ciri-ciri keselamatan apabila digunakan nanti.



